Keutamaan Menangis Karena Takut Kepada-Allah Ta'ala Dan Karena Rindu PadaNya
Keutamaan
Menangis Karena Takut Kepada-Allah Ta'ala Dan Karena Rindu PadaNya
Allah Ta'ala berfirman:
"Dan orang-orang yang beriman itu
sama meniarap dengan dagunya sambil menangis dan al-Quran itu menambah
ketundukan mereka." (al-lsra': 109)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Adakah dari pembicaraan - al-Quran - ini engkau semua menjadi
hairan, lalu engkau semua ketawa dan tidak menangis?" (an-Najm: 59-60)
445. Dari
Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Nabi s.a.w. bersabda kepadaku:
"Bacakanlah al-Quran untukku." Saya berkata: "Ya Rasulullah,
apakah saya akan membacakan al-Quran itu, sedangkan ia diturunkan atas Tuan?"
Beliau s.a.w. bersabda: "Saya senang kalau mendengarnya dari orang
lain."
Saya lalu
membacakan untuknya surah an-Nisa', sehingga sampailah saya pada ayat- yang
ertinya: "Bagaimanakah ketika Kami datangkan kepada setiap ummat seorang
saksi dan engkau Kami jadikan saksi atas ummat ini?" - Surat an-Nisa' 41.
Setelah itu
Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sudah cukuplah bacaanmu sekarang."
Saya menoleh kepada beliau s.a.w., tiba-tiba kedua mata beliau itu meleleh
airmatanya." (Muttafaq 'alaih)
446. Dari
Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. berkhutbah, tidak pernah saya
mendengar suatu khutbah pun yang semacam itu -kerana amat menakutkan. Beliau
s.a.w. bersabda:
"Andaikata
engkau semua dapat mengetahui apa yang saya ketahui, nescaya engkau semua akan
ketawa sedikit dan menangis banyak-banyak." Anas berkata: "Maka para
sahabat Rasulullah s.a.w. sama menutupi mukanya sendiri-sendiri dan mereka itu
menangis terisak-isak." (Muttafaq 'alaih)
Keterangannya
telah lampau dalam bab: Takut.
447. Dari
Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak
akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga
susu itu dapat kembali ke teteknya - menunjukkan suatu kemustahilan. Tidak akan
berkumpullah debu fi-sabilillah itu* dengan asap neraka Jahanam."
Diriwayatkan
oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
448. Dari
Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada
tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang
tiada naungan melainkan naunganNya sendiri - yakni hari kiamat, iaitu imam -
kepala atau pemimpin - yang adil. Pemuda yang membesar -sejak kecilnya - dalam
beribadat kepada Allah, orang yang hatinya tergantung - sangat memerhatikan
-kepada masjid-masjid dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah,
keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas
keadaan sedemikian itu pula, orang lelaki yang diajak oleh wanita yang
mempunyai kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: "Sesungguhnya
saya ini takut kepada Allah," - demikian pula sebaliknya, iaitu
wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti di atas, juga orang yang
bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga
seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya
dan orang yang mengingat pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah
airmata dari kedua matanya." (Muttafaq 'alaih)
Maksudnya ialah berjihad memerangi musuh agama Allah sewaktu-waktu untuk
mengharapkan keredhaanNya.
449. Dari
Abdullah bin asy-Syikhkhir r.a., katanya: "Saya mendatangi Rasulullah
s.a.w. dan beliau sedang bersembahyang dan dari dadanya itu terdengar suara
bagaikan mendidihnya kuali kerana beliau sedang menangis."
Hadis hasan
shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dalam
asy-Syamail dengan isnad yang shahih.
450. Dari
Anas r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Ubay bin Ka'ab
r.a., demikian:
"Sesungguhnya
Allah Azzawajalla menyuruh padaku supaya saya bacakan untukmu ayat ini -
ertinya: "Tidaklah akan dapat meninggalkan orang-orang kafir dari
ahlul-kitab dan musyrik itu - akan kepercayaannya yang sesat - sampai datang
kepada mereka keterangan yang jelas. "Albayyinah" 1-8. Ia berkata:
"Apakah Allah menjelaskan namaku pada Tuan?" Beliau s.a.w. bersabda:
"Ya." Kemudian Ubay r.a. menangis." (Muttafaq 'alaih)
Dalam sebuah
riwayat lain disebutkan: "Maka Ubay mulai menangis." - Ubay adalah
seorang dari golongan sahabat Anshar.
Keterangan:
Sebabnya
Ubay r.a. menangis ialah kerana terharu hatinya, gembira bercampur rasa takut
kepada Allah Ta'ala, kerana merasa masih kurang kebaktian serta ketaatan yang
dilakukan olehnya. Ada pun rasa terharunya itu di antaranya disebabkan kerana
dalam surat "Albayyinah" bahagian terakhir dijelaskan bahawa
orang-orang semacam sahabat Ubay r.a. itu amat diredhai oleh Allah Ta'ala dan
orang itu pun benar-benar sudah redha kepadaNya. Manakala seseorang itu telah
diredhai oleh Allah, maka tiada lain tempatnya di akhirat nanti, kecuali
syurga.
451. Dari
Anas r.a. pula, katanya: "Abu Bakar berkata kepada Umar radhiallahu
'anhuma sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w.: "Mari kita bersama-sama
berangkat ke tempat Ummu Aiman untuk menziarahinya, sebagaimana halnya
Rasulullah s.a.w. juga menziarahinya." Ketika keduanya sampai di tempat
Ummu Aiman, lalu wanita ini menangis. Keduanya berkata: "Apakah yang
menyebabkan engkau menangis? Tidakkah engkau ketahui bahawasanya apa yang ada
di sisi Allah itu lebih baik untuk Rasulullah s.a.w." Ummu Aiman lalu
menjawab: "Sesungguhnya saya tidaklah menangis kerana saya tidak
mengetahui bahawasanya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk
Rasulullah s.a.w., tetapi saya menangis ini ialah kerana sesungguhnya wahyu itu
telah terputus - sebab Nabi s.a.w. telah wafat." Maka ucapan Ummu Aiman
menggerakkan hati kedua sahabat itu untuk menangis. Kemudian keduanya itu pun
menangis bersama Ummu Aiman.
Hadis di
atas sudah disebutkan dalam bab: Menziarahi orang-orang ahli kebaikan - lihat
Hadis no. 359.
452. Dari
Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Ketika sudah sangat geringnya
Rasulullah s.a.w., lalu ditanyakan padanya siapa yang akan menjadi imam shalat.
Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Perintahkanlah pada Abu Bakar, supaya ia
bersembahyang menjadi imam orang-orang banyak!" Aisyah radhiallahu 'anha
berkata: "Sesungguhnya Abu Bakar itu adalah seorang lelaki yang lemah,
jikalau membaca al-Quran, maka bacaannya terkalahkan oleh tangisnya - sehingga
bacaannya tidak jelas." Beliau s.a.w. lalu bersabda lagi: "Perintahkanlah
pada Abu Bakar supaya bersembahyang sebagai imam!"
Dalam lain
riwayat disebutkan: Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Saya berkata:
"Sesungguhnya Abu Bakar itu apabila mengganti kedudukan Tuan - sebagai
imam, ia tidak dapat memperdengarkan suaranya kepada orang-orang banyak sebab
tangisnya." (Muttafaq 'alaih)
453. Dari
Ibrahim bin Abdur Rahman bin 'Auf, bahawasanya Abdur Rahman bin 'Auf r.a.
diberi hidangan makanan, sedangkan waktu itu ia berpuasa, lalu ia berkata:
"Mus'ab bin Umair itu terbunuh - fi-sabilillah. Ia adalah seorang yang
lebih baik daripada-ku, tetapi tidak ada yang digunakan untuk mengafaninya -
membungkus janazahnya - kecuali selembar burdah. Jikalau kepalanya ditutup,
maka nampaklah kedua kakinya dan jikalau kedua kakinya ditutup maka nampaklah
kepalanya. Selanjutnya untuk kita sekarang ini dunia telah dibeberkan
seluas-luasnya - banyak rezeki. Atau ia berkata: "Kita telah dikurniai
rezeki dunia sebagaimana yang kita terima ini - amat banyak sekali. Kita
benar-benar takut kalau-kalau kebaikan-kebaikan kita ini didahulukan untuk kita
sekarang - sejak kita di dunia ini, sedang di akhirat tidak dapat bahagian
apa-apa." Selanjutnya ia lalu menangis dan makanan itu ditinggalkan.
(Riwayat Bukhari)
454. Dari
Abu Umamah, iaitu Shuday bin 'Ajlan al-Bahili r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Tiada
sesuatupun yang lebih dicintai oleh Allah Ta'ala daripada dua titisan dan dua
bekas. Dua titisan itu ialah titisan airmata kerana takut kepada Allah dan
titisan darah yang dialirkan fi sabilillah. Adapun dua bekas iaitu bekas luka
fi-sabilillah dan bekas dalam mengerjakan kefardhuan dari beberapa kefardhuan
Allah Ta'ala - semacam bekas sujud dan lain-lain."
Diriwayatkan
Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
Dalam bab
ini masih banyak lagi Hadisnya, di antaranya ialah Hadisnya al-'Irbadh bin
Sariyah r.a., katanya: "Kita semua diberi nasihat oleh Rasulullah s.a.w.,
iaitu suatu nasihat yang semua hati dapat menjadi takut kerananya dan mata pun
dapat melelehkan airmata." Hadis ini telah lalu dalam bab: Melarang
kebid'ahan-kebid'ahan - lihat Hadis no. 157 dan 171.
Post a Comment