Amalan dan Doa di Malam Nisfu Sya'ban

Amalan dan Doa di Malam Nisfu Sya'ban

Malam ini mempunyai beberapa nama lain termasuklah Lailah al-Mubarakah (malam yang berkat), Lailah at-Takfir (malam penghapusan dosa), Lailah al-Ijabah (malam diperkenankan doa), Lailah al-Hayah (malam hidup iaitu hati dihidupkan Allah  agar tidak lupa kepadaNya) dan lain-lain yang merujuk kepada kemuliaan dan fadhilat yang ada pada malam tersebut. 
 
Justeru, hendaklah kita berusaha menghidupkan malam ini dengan amal ibadat sebanyak-banyaknya. Tidak mengapa menghidupkan amalan secara berjemaah di masjid atau di rumah. Melakukan sesuatu ibadah secara berjemaah lebih memberi semangat kekuatan beramal, asalkan terhindar dari perasaan riya’. Boleh juga melakukannya secara berseorangan.  
 
Seperti yang disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi dalam kitabnya Fadha’il al-Ayyam wa asy-Syuhur, ms. 38, antara amalan para solehin pada malam ini, selepas solat fardhu Maghrib dan sunat ba’diahnya, dibaca Surah Yaasin 3 kali : 

1) Pada bacaan yang pertama diniatkan memohon dipanjangkan umur dalam kesihatan yang baik agar dapat beribadat mentaati Allah swt.

2) Pada bacaan kedua, diniatkan memohon diluaskan rezeki yang halal dan diberkati dan pada bacaan ketiga, diniatkan memohon ditetapkan iman dan mati dalam iman (husnul khatimah).

Setiap kali selepas membaca sekali Surah Yaasin, maka bacalah doa di bawah: 



“Ya Allah, Tuhan Yang Memiliki Kurniaan, dan tidaklah Dia yang dikurniakan kepadaNya. Wahai Tuhan Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, Wahai Tuhan Yang Mempunyai Kekuatan dan Nikmat, tiada Tuhan melainkan Engkau, yang telah menzahirkan pertolongan bagi orang yang datang berlari kepadaNya, yang memberi perlindungan kepada orang-orang yang memohon perlindunganNya dan memberi keamanan bagi orang berada dalam ketakutan. Ya Allah, sekiranya Engkau telah menulis bagiku di sisiMu di dalam Ibu Segala Catitan sebagai seorang yang celaka, atau orang yang diharamkan atau dihalau atau dikurangkan rezeki ke atasku, maka hapuskanlah ia dengan kurniaanMu, Ya Allah, akan kecelakaanku, keharamanku dan kesempitan rezekiku. Tetapkanlah aku di dalam Ibu Segala Catitan itu menjadi seorang yang bahagia, beroleh rezeki dan beroleh taufiq untuk segala kebajikan kerana Engkau telah berfirman dan perkataanMu adalah yang paling benar di dalam Kitab (Al-Qur’an) yang telah Engkau turunkan kepada Nabi Muhammad  iaitu firmanMu (mafhumnya): “Allah boleh menghapuskan apa-apa yang disukaiNya dan pada sisinya Ummul Kitab (Ibu Segala Catitan).” Ya Tuhanku, dengan pandangan rahmatMu Yang Maha Besar pada malam Nisfu Sya’ban yang mulia ini, yang padanya ditetapkan segala urusan yang penting, kami bermohon agar diangkatkan daripada kami segala bala, baik yang kami ketahui atau yang tidak kami ketahui dan Engkaulah yang lebih mengetahuinya kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Mulia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad, keluarga Baginda dan seluruh para sahabatnya.” 

 Doa ini ma’thur dan masyhur. Daripada Ibn Mas’ud berkata: 

 
“Tidaklah seseorang hamba yang berdoa dengan doa ini, melainkan akan diluaskan kehidupannya.” 
 
Doa Syaikh Abdul Qadir al-Jilani   


“Ya Allah, apabila Engkau telah mendatangkan malam Nisfu Sya’ban kepada makhlukMu, maka curahkanlah kepada kami kurniaan dan pembebasanMu (dari api neraka), dan pilihkanlah kami sebagai orang-orang yang mendapatkan kurniaanMu, kelimpahan rezekiMu, serta jadikanlah kami sebagai orang-orang yang melaksanakan di antara hakMu. Ya Allah, sesiapapun yang Engkau tetapkan untuk meninggal dunia pada malam Nisfu Sya’ban ini, maka tetapkanlah bersamanya kasih sayangMu, dan sesiapapun yang Engkau tetapkan pada malam Nisfu Sya’ban ini panjang umur, maka tetapkanlah bersamanya curahan nikmatMu, serta sampaikan kami kepada sesuatu yang tidak dapat diraih oleh cita-cita dan keinginan, Ya Allah Tuhan Sebaik-baik Pemberi orang-orang yang memohon, Ya Allah Tuhan Pemelihara alam semesta, hanya kerana kasih sayangMu (doa dan harapan terpenuhi) Ya Allah, Tuhan Sebaik-baik Pemberi Rahmat. Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad, keluarga Baginda dan seluruh para sahabatnya.” 

Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf al-Hadith wa al-Athar, 7/85 dan Ibn Abi Dunya dalam Ad-Du’a dan juga dari riwayat Ibn Umar. Doa dari “Ilahi bit tajalli…” sampai akhir adalah tambahan oleh Syaikh Ma’ al-Ainain dalam  Na’t al-Bidayat. (Lihat Doa Malam Nisfu Sya’aban, ms. 41-42) 

Doa Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad 

(sama sahaja dengan doa selepas membaca Surah Yaasin 3 kali di atas dimulakan dengan: “Allaahumma yaa Zal manni wa alaa yumannu ‘alaih….(sehingga)….maa na’lam wa maa laa na’lam.”)




Kemudian disambung: 



“Ya Allah, Tuhan Yang Memiliki Kemuliaan.. baik yang kami ketahui atau yang tidak kami ketahui… “Ya Allah, jadikanlah  aku dari semulia-mulia hambaMu yang mendapat tuah dan bahagian pada setiap sesuatu yang telah Engkau bahagikan pada malam ini daripada cahaya yang dengannya Engkau memberikan petunjuk atau rahmat yang Engkau sebarkan atau rezeki yang Engkau hamparkan ataupun kurniaan yang Engkau bahagikan ke atas hamba-hambaMu yang beriman. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Tiada Tuhan melainkan Engkau. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku hati yang bertaqwa, suci dan bersih dari kesyirikan, kekufuran dan kecelakaan. Kurniakanlah kepadaku hati yang sejahtera, khusyu’ dan merendahkan diri kepadaMu. Ya Allah, penuhilah hatiku dengan cahayaMu, cahaya-cahaya penyaksianMu, kecantikanMu, kesempurnaanMu, kasih kepadaMu, penjagaanMu, kekuasaanMu dan ilmuMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihani. Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad, keluarga Baginda dan seluruh para sahabatnya.” 

Sebaik-baiknya baca doa ini 10 kali 
 

 
“Tuhanku, kemurahanMu telah menunjukkan aku kepadaMu, kebaikanMu telah mendekatkan aku kepadaMu, aku mengadu kepadaMu perkara yang tidak tersembunyi lagi pada pengetahuanMu dan aku memohon kepadaMu perkara yang tidak susah padaMu, kerana ilmuMu tentang keadaanku telah mencukupi daripada permohonanku. Wahai Tuhan Yang Menghapuskan bebanan orang-orang yang kesusahan, hapuskanlah daripadaku semua yang aku hadapi, sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau. (Ya Allah), Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniya, tolonglah daku), sesungguhnya aku adalah dari kalangan orang-orang yang menganiyai diri sendiri, (dengan berkat dan benarnya firmanMu): “Maka Kami perkenankan permohonan doanya (Nabi Yunus) dan Kami selamatkannya dari kesusahan yang menyelubunginya, dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada kami).” Ya Allah, Tuhan Yang Memiliki Kurniaan…..sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Mulia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad, keluarga Baginda dan seluruh para sahabatnya.” 
Pada malam ini, sangat baik memperbanyakkan beristighfar (memohon keampunan) dan bertaubat dari dosa-dosa besar dan kecil serta meminta keampunan Allah swt untuk ibu bapa dan keluarga kita. 
 

Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar )



“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menjadikan aku dan aku adalah hambaMu, Aku sentiasa berada dalam janjiMu dan ketetapanMu apa yang dalam kesanggupanku. Aku berlindung denganMu dari kejahatan yang aku lakukan. Aku mengaku padaMu nikmatMu atasku dan aku mengaku kepadaMu akan dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Sesungguhnya tiada apa yang akan mengampun dosa melainkan Engkau jua.” 


Doa memohon keampunan untuk kedua ibubapa


“Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku dan rahmatilah keduanya sebagai mana keduanya merahmatiku di waktu kecil.” 


Doa Nabi Adam a.s.



“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang tersembunyi dan apa yang terzahir daripadaku, maka terimalah permohonan maafku, dan Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan di sisiku, maka ampunkanlah dosa-dosaku, dan Engkau mengetahui hajatku, maka perkenankanlah permintaanku. Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepadaMu iman yang mengembirakan hatiku, keyakinan yang benar, sehingga aku tahu bahawa apa sahaja musibah yang menimpaku, itu tidak lain melainkan apa yang telah Engkau taqdirkan ke atasku dan kurniakanlah aku redha dengan apa yang telah Engkau putuskan ke atasku, wahai Tuhan Yang Mempunyai keagungan dan kemuliaan.” 
 
(Imam Al-Azraqi meriwayatkan dengan sanadnya, bahawa ketika diturunkan dari syurga, Nabi Adam a.s telah melakukan tawaf 7 kali di sekeliling Ka’bah. Baginda saw kemudiannya bersolat 2 rakaat mengadap Ka’bah. Selepas itu, Baginda saw pergi ke Multazam dan berdoa dengan doa ini. Lalu Allah swt mewahyukan kepada Nabi Adam a.s: “Wahai Adam, sesungguhnya engkau telah berdoa kepadaKu dengan doa-doa dan Aku telah memperkenankannya. Tidaklah berdoa seseorang dari kalangan anak cucumu dengannya, melainkan Aku hapuskan keresahan dan kesusahannya. Aku tahan daripadanya barangnya yang hilang. Aku cabutkan kefaqiran dari hatinya. Aku jadikan kekayaan di antara dua matanya. Aku kurniakan kepadanya keuntungan setiap orang yang berniaga dan datang dunia kepadanya dalam keadaan terpaksa, sekalipun dia tidak mahu kepada dunia tersebut.” Rujuk Tarikh Makkah, Abu Walid al-Azraqi, 2/370 dan Fi Rihab al-Bait al-Haram, Al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki, ms. 52. Sayyid Muhammad al-Maliki mengatakan: “Sanad hadith ini baik.”) 

Al-Allamah Sayyid Al-Winna’i berkata bahawa antara doa yang afdhal dibaca pada malam Nisfu Sya’ban ialah: 

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mulia yang suka kepada keampunan, maka ampunilah dosaku. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu keampunan, keafiatan dan kesejahteraan yang berterusan di dalam agama, dunia dan akhirat.”  

Tidak ada komentar