Tawakal ilaAllah
Tawakal ilaAllah
Pernahkah kita dalam mencapai suatu perkara, setelah kita berpenat lelah dan
seratus peratus meletakkan tenaga dan keupayaan kita dan setelah kita yakin
kita telah memberikan seluruh sumber yang ada namun hati kita masih resah
seolah dunia masih tidak mengiktiraf usaha kita? Mungkin kerana kealpaan kita,
kita terlupa yang Dia lah penentu segalanya. Dialah yang menentukan nilai
rezeki dan setiap sesuatu untuk setiap daripada kita. Firman Nya :
“Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan
barangsiapa bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan
keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah
menentukan bagi setiap sesuatu” QS 65:3.
Tawakal daripada suku kata perkataan arabnya bermaksud mewakilkan urusan
kepada pihak yang lain. Dan maksud ini dapat kita perluaskan lagi sebagai kepercayaan
hati kepada wakil satu-satunya.
Dalam kita meletakkan perwakilan bagi suatu urusan kita, pastinya wakil kita
itu diyakini kebenarannya (muntahal-hidayah), diyakini yang paling
kuat (muntahal-quwwah), diyakini paling lancar (muntahal-fashahah)
dan juga diyakini paling perhatian dan kasih sayang (muntahas-syafaqah).
Bukankah semua sifat ini hanyalah milik Dia? Adakah makhluk yang diciptakanNya
mempunyai semua sifat dia atas untuk kita sandarkan kepercayaan kita? Mana
mungkin kerana hanya dari Dialah segalanya datang, dan kepadaNya segalanya
kembali.
Di dalam kita menghadapi cabaran, Allah telah menyuruh kita untuk berserah
kepadaNya. Namun ini bukanlah bermakna kita tidak perlu melakukan apa-apa dalam
kita mencapai sesuatu itu. Firmannya lagi:
“ ketika dua golongan dari pihak kamu ingin mundur kerana takut, padahal
Allah adalah Penolong mereka. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja
orang-orang mukmin bertawakkal” QS 3;122
Bila kita hendak capai sesuatu, keinginan dan cita-cita tu hanya akan jadi
mimpi dan angan-angan kosong yang tidak bernilai kalau kita tidak sertakan
sekali dengan usaha. Rezeki tidak datang bergolek kalau kita tidak ikhtiar
untuk cari. Dan pada usaha itulah hasil kita akan terjadi.
Tetapi usaha semata tidak bernilai di sisi Allah jika kita hanya
mengharapkan usaha kita sedangkan kita lupa untuk meletakkan Allah sebagai yang
Menentu. Jangan sekali kita meletakkan usaha kita menjadi neraca hasil kerana
bukankah itu seolah kita mengiktiraf diri kita bagaikan berkuasa dan tidak
perlu mengharap pada Ilahi?.Andai inilah yang kita lakukan, secara sendirinya
kita menghitamkan hati kita dengan riya’ dan takabbur. Sedangkan hasil suatu
itu adalah ketentuanNya, nikmatnya untuk memberikan menurut pertimbanganNya.
Mungkin terjadi, mungkin tidak.
Namun Allah menjanjikan nikmat yang tidak disangka-sangka bagi mereka yang
bertawakkal. Rasulullah bersabda :
“Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakkal
maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki
kepada burung, pagi keluar sarang dalam keadaan lapar, dan petangnya pulang ke
sarang dalam keadaan kenyang.” HR At Tirmidziy.
Dalam bertawakal ada peringkat-peringkat yang boleh dijadikan kayu ukur
kebergantungan kita;
a. Ketergantungan seseorang kepada Allah atas perlindungan dan pemenuhan
keinginannya, sebagaimana keterikatan seorang pelanggan kepada pengacaranya. Ia
menyerahkan sesuatu namun tiba suatu saat ia dapat mengambil kembali
perjanjian, dan menyerahkannya kepada pihak lain, yang lebih dipercayai.
b. Kebergantungan seseorang kepada Allah bagaikan kebergantungan seoran bayi
terhadap ibunya. Ia tidak mengenal orang lain selain ibunya, tidak merengek dan
meminta susu kecuali kepada ibunya, ia tidak berserah diri kecuali kepada
ibunya. Namun bayi itu dapat juga berbuat sesuatu yang diinginkannya di luar
pengetahuan orang tuanya. Kebergantungannya kepada orang tau karena
ketergantungan adanya keinginan yang tiada pada orang lain, selain ibunya.
c. Kebergantungan seseorang kepada Allah bagaikan kebergantungan seorang
jenazah terhadap orang yang memandikannya. Si arwah tidak tahu lagi apa pun
yang diperbuat oleh orang yang memandikannya. Ia menyerah terhadap perlakuan
apapun yang diberikan kepadanya.
Maka kita jejaki kembali tawakkal kita, adakah sudah kita benar-benar
mengharapkan dari Ilahi yang sepenuh-penuh takwa seperti yang dituntut ke atas
kita.
Bila kita melakukan tawakkal, bukankah itu lebih tenang di hati kerana kita
yakin Allah telah menentukan rezeki untuk setiap kita yang masing-masing ada
bahagian sendiri. Bila kita yakin suatu rezeki itu ditentukan untuk kita, maka
tidak perlu kita takut untuk orang lain mendapatnya pula.
Namun kita tidak akan tahu apa rezeki yang akan diberikan kepada kita kerana
suatu usaha itu mungkin tidak mendatangkan hasil seperti yang kita harapkan.
Mungkin lebih dari kita harapkan atau mungkin lebih teruk daripada jangkaan
kita. Tapi bagi seorang yang hidupnya penuh dengan tawakkal kepada Allah tahu
dan yakin bahawa itulah rezeki yang ditetapkan untuknya yang datang bukan
sebagai ganjaran atau balasan kepada dia, namun sekadar ujian untuk menguji
secebis iman di dada. Ini kerana dia yakin, segala apa yang dilakukan di dunia
adalah kerana untuk memetik ganjarannya di syurga sana . Kita hanyalah penyemai benih keimanan
dan diindahkan dengan tawakkal kerana tawakkal itu satu daripada pembuktian
iman, yang meyakini Dialah segalanya, yang dinantikan bukan hasil dan ganjaran
di muka bumi, tetapi adalah ganjaran abadi syurga firdausi. Dan kerana itulah
orang yang benar bertawakkal, dia tidak akan takut untuk berusaha kerana tahu
rezekinya datang dengan tidak disangka-sangka, dia akan terus berusaha untuk
masa depannya, terus berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapinya
disamping berusaha mengelak musibah kepada dirinya kerana dia yakin, setiap
usaha yang dilakukannya hanyalah wasilah yang akan membenarkan dia untuk
menggapai cinta Ilahi di jannah Ilahi..
“Suatu tawakkal dan keyakinan yang kuat tanpa ikhtiar yang
mengiringinya maka tidaklah sempurna, dan setinggi-tinggi ikhtiar akan sia-sia
tanpa tawakkal, meyerah kepadaNya. Tawakkal yang benar adalah ikhtiar yang
semaksimum mungkin disertakan keyakinan bahawa Dia lah penentu segalanya.”
Moga kita bertawakkal dengan sebenar tawakkal, diiringi dengan keikhlasan
semata untukNya.
Wallahua’lam..
Post a Comment