Sunnahnya
Mendahulukan Anggota Yang Kanan Dalam Segala Sesuatu Yang Termasuk Dalam Bab
Memuliakan (Yakni Kerana
Mulianya Anggota Kanan Itu) Misalnya Ketika Berwudhu', Mandi, Tayammum,
Mengenakan Pakaian, Terompah, Sepatu,
Celana, Masuk Masjid, Bersiwak (Bersugi), Bercelak, Memotong Kuku, Mencukur
Kumis, Mencabut Rambut Ketiak, Mencukur Kepala, Bersalam Dari Shalat, Makan,
Minum, Berjabatan Tangan, Menjabat Hajar Aswad, Keluar Dari Jamban, Mengambil,
Memberi Dan lain-lain Yang Semakna Dengan Itu, Juga Disunnahkan Mendahulukan
Anggota Yang Kiri Dalam Hal-hal Yang Sebaliknya Di Atas Seperti Berhingus, Berludah
Di Sebelah Kiri, Masuk jamban, Keluar Dari Masjid, Melepaskan Sepatu,
Terompah, Celana,
Pakaian Serta Bercebok Dan Mengerjakan Apa-apa Yang Dianggap Kotor
Dan Yang Serupa Dengan Itu
Allah
Ta'ala berfirman:
"Maka
barangsiapa yang diberi catatan amalnya - lalu diterima - dengan tangan
kanannya, maka orang itu berkata:"Nah, cuba bacalah olehmu semua akan catatan amalku
ini," sampai habisnya beberapa ayat.
(al-Haqqah: 19)
Allah Ta'ala juga
berfirman:
"Adapun orang-orang
golongan kanan. Apakah orang-orang golongan kanan itu? Dan orang-orang golongan
kiri. Apakah orang-orang golongan kiri itu?" (al-Waqi'ah: 8-9)
718. Dari Aisyah
radhiallahu 'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu gemar sekali mendahulukan
anggota kanannya dalam segala hal yang dilakukan olehnya, baik dalam bersucinya,
menyisir rambutnya serta mengenakan terumpahnya." (Muttafaq 'alaih)
719. Dari Aisyah
radhiallahu 'anha juga, katanya: "Tangan Rasulullah s.a.w. yang kanan itu beliau
gunakan untuk bersuci dan makan, sedang tangan beliau s.a.w. yang kiri itu untuk
sesuatu yang dilakukan dalam jamban - seperti bercebok (membasuh air kecil dan air
besar),
mengambil batu dan menghilangkan kotoran - serta apa-apa yang merupakan kotoran
- seperti berludah, beringus dan sebagainya."
Hadis shahih yang
diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan lain-lainnya dengan isnad
shahih.
720. Dari Ummu
'Athiyyah radhiallahu 'anha bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda
kepada kaum wanita dalam memandikan puterinya yakni Zainab - atau Ummu Kultsum
di waktu wafatnya - radhiallahu 'anha: "Dahulukanlah olehmu semua
anggota-anggotanya yang bahagian kanan serta tempat-tempat
berwudhu' daripada tubuhnya itu." (Muttafaq 'alaih)
721. Dari Abu
Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Apabila seseorang
dari engkau semua mengenakan terompah, maka hendaklah
mendahulukan yang kanan dan apabila melepaskannya, maka dahulukanlah yang kiri.
Hendaklah yang kanan itu yang pertama di antara kedua kaki yang dikenakan
terompah dan yang
terakhir ketika dilepaskan." (Muttafaq 'alaih)
722. Dari Hafshah
radhiallahu 'anha bahawasanya Rasulullah s.a.w.
menggunakan anggota kanannya untuk makan, minum dan mengenakan pakaiannya serta
menggunakan anggota kirinya untuk yang selain di atas itu." (Riwayat Abu Dawud
dan lain-lain)
723. Dari Abu
Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Apabila engkau semua
mengenakan pakaian atau berwudhu', maka dahulukanlah anggota-anggota
kananmu."
Hadis shahih yang
diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dengan isnad yang
shahih.
724. Dari Anas r.a.
bahawasanya Rasulullah
s.a.w. datang di Mina, lalu mendatangi jamrah, kemudian melemparnya, terus
datang di rumahnya di Mina dan menyembelih korban. Selanjutnya beliau s.a.w.
bcrsabda kepada tukang cukur rambut: "Ambillah - kepala untuk dicukur." Beliau
s.a.w. menunjukkan ke bahagian sebelah kanannya kemudian
bahagian sebelah kirinya, kemudian diberikan
kepada para manusia. (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat lain
disebutkan: "Ketika beliau s.a.w. sudah melempar jamrah dan menyembelih
kurbannya serta bercukur, beliau memberikan bahagian kepala sebelah kanannya, lalu tukang cukur
itu mencukurnya. Kemudian beliau mengundang Abu Thalhah al-Anshari r.a. lalu
memberikan rambutnya itu kepadanya. Seterusnya beliau memberikan bahagian kepala sebelah kirinya dan beliau
menyabdakan: "Cukurlah!" Tukang cukur itu mencukurnya, lalu memberikan rambutnya
itu kepada Abu Thalhah dan beliau bersabda: "Bahagikanlah ini kepada orang
banyak."
Muka depan |
Post a Comment