Berziarah
Kepada Para Ahli Kebaikan, Duduk-duduk Dengan Mereka, Mengawani Mereka,
Mencintai Mereka, Meminta Mereka Supaya Berziarah — Ke
Tempat Kita,
Meminta Doa Dari Mereka Serta Berziarah Ke Tempat-tempat Yang
Utama
Allah
Ta'ala berfirman:
"Dan
ketika Musa berkata kepada bujangnya: "Saya tidak akan berhenti berjalan
sehingga sampai di pertemuan dua sungai atau aku berjalan sampai bertahun-tahun
sehingga firman Allah:
"Musa berkata kepadanya - yakni
Khidhir -: "Bolehkah aku mengikuti engkau dengan maksud supaya engkau
mengajarkan kepadaku kebenaran yang telah diajarkan
kepadamu?” [34]
(al-Kahfi: 60-66)
Keterangan:
Orang yang hendak
dicari oleh Nabiullah Musa a.s. yang dianggapnya lebih pandai daripadanya
sendiri itu ialah Khidhir. Sebahagian alim-ulama ada yang mengatakan bahawa
Khidhir itu adalah seorang Nabi, ada pula yang mengatakan, ia seorang waliullah
yang memiliki karamah (keistimewaan yang tidak dapat dilakukan oleh manusia
biasa sebagai tanda kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah padanya, jadi sama
halnya dengan mu'jizat bagi seseorang Nabi atau Rasul), juga ada yang mengatakan
bahawa ia adalah orang shalih saja. Jadi dalam hal ini banyak pendapat
alim-ulama Islam. Mana yang benar, hanyalah Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui.
Juga diperselisihkan pula oleh beliau-beliau itu perihal kematian atau masih
hidupnya Khidhir itu sampai saat ini, hingga tibanya hari kiamat nanti
sebagaimana diperselisihkannya tentang kematian atau masih hidupnya Nabiullah
Isa al-Masih a.s. Tegasnya ada sebahagian ulama yang menyatakan pendapatnya
bahawa kedua beliau itu masih hidup dan baru akan mati nanti setelah datangnya
hari kiamat, tetapi hidupnya Khidhir a.s. di bumi dan Isa a.s. di langit. Juga
ada sebahagian ulama yang menyatakan pendapatnya bahawa keduanya itu sudah mati.
Wallahu A'lam bishshawaab.
Ketika Nabiullah Musa
a.s. hendak mencari Khidhir, Allah memberikan petunjuk kepadanya bahawa tempat
Khidhir itu ada di Majma'ul Bahrain yakni tempat pertemuan dua lautan.
Inipun diperselisihkan pula, ada yang mengatakan bahawa lautan di situ maksudnya
dua sungai. Jadi Majma'ul Bahrain, ertinya ialah pertemuan dua sungai
yakni Sungai Nil Biru dan Nil Putih. Ada pula yang mengatakan bahawa yang
dimaksudkan memang betul-betul pertemuan dua lautan, yakni lautan Hitam yang
dulu masuk wilayah kerajaan Parsi di zaman kejayaannya dan lautan Tengah yang
dulu masuk wilayah kerajaan Romawi di zaman keemasannya. Jadi kalau Ini yang
dianggap benar, maka pertemuan kedua lautan itu ialah di selat Bospores yang
kini masuk wilayah Turki. Namun demikian, semua pendapat itu masih merupakan
serba kemungkinan dan belum dapat
dipastikan keshahihannya.
Wallaahu A'lam bishshawaab.
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Dan sabarkanlah
dirimu bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka di waktu pagi dan petang,
mereka menginginkan keredhaan Tuhan." (al-Kahfi: 28)
359. Dari Anas r.a.,
berkata: "Abu Bakar berkata kepada Umar radhiallahu 'anhuma setelah wafatnya
Rasulullah s.a.w.: "Marilah berangkat bersama kita ke tempat Ummu Aiman [35] agar kita dapat berziarah padanya, sebagaimana Rasulullah
s.a.w. juga menziarahinya. Setelah keduanya sampai di tempatnya, Ummu Aiman
menangis, lalu keduanya bertanya: "Apakah yang menyebabkan engkau menangis?
Tidakkah engkau ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik untuk
Rasulullah s.a.w.?" Ummu Aiman lalu menjawab: "Sesungguhnya saya bukannya
menangis kerana saya tidak mengerti bahawa apa yang ada di sisi Allah adalah
lebih baik untuk Rasulullah s.a.w. itu, tetapi saya menangis ini ialah kerana
sesungguhnya wahyu itu kini telah terputus dari langit."
Jawapan Ummu Aiman
menyebabkan tergeraknya hati kedua orang tersebut untuk menangis lalu kedua
orang itu pun mulai pula menangis bersama Ummu Aiman." (Riwayat
Muslim)
360. Dari Abu
Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang lelaki berziarah kepada
seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang
malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan - yang dilaluinya. Setelah orang
itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya: "Ke mana engkau
menghendaki?" Orang itu menjawab: "Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di
desa ini." Malaikat bertanya lagi: "Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau
perolehi dari saudaramu itu?" Ia menjawab: "Tidak, hanya saja saya mencintainya
kerana Allah." Malaikat lalu berkata: "Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah
untuk menemuimu - guna memberitahukan - bahawa sesungguhnya Allah itu
mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah." (Riwayat
Muslim)
361. Dari Abu
Hurairah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang
meninjau orang sakit atau berziarah kepada saudaranya kerana Allah, maka
berserulah seseorang yang mengundang-undang: "Engkau melakukan kebaikan dan baik
pulalah perjalananmu, serta engkau dapat menduduki tempat dalam
syurga."
Diriwayatkan oleh
Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan dan dalam
sebahagian naskhah disebutkan sebagai Hadis gharib.
362. Dari Abu Musa
al-Asy'ari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:
"Hanyasanya
perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang buruk adalah sebagai pembawa minyak
misik - yang baunya harum - dan peniup perapian - pandai besi. Pembawa minyak
misik ada kalanya memberikan minyaknya padamu, atau engkau dapat membelinya,
atau - setidak-tidaknya - engkau dapat memperolehi mencium - bau
yang harum daripadanya. Adapun peniup perapianmu, maka ada kalanya akan
membakarkan pakaianmu atau engkau akan memperolehi bau yang busuk daripadanya."
(Muttafaq 'alaih)
363. Dari Abu
Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Seseorang wanita itu dikahwini kerana
empat perkara, iaitu kerana ada hartanya, kerana keturunannya, kerana
kecantikannya dan kerana teguh agamanya. Maka dari itu dapatkanlah - yakni
usahakanlah untuk memperolehi - yang mempunyai keteguhan agama, tentu kedua
tanganmu merasa puas - yakni hatimu menjadi tenteram." (Muttafaq
'alaih)
Adapun maknanya Hadis
di atas itu ialah bahawasanya para manusia itu dalam ghalibnya menginginkan
wanita itu kerana adanya empat perkara di atas itu, tetapi engkau sendiri
hendaklah menginginkan lebih-lebih yang beragama teguh. Wanita sedemikian itulah
yang harus didapatkan dan berlumbalah untuk mengahwininya.
364. Dari Ibnu Abbas
r.a., katanya: "Nabi s.a.w. bersabda Jibril a.s.: "Apakah sebabnya Tuan tidak
suka berziarah pada kami yang lebih banyak lagi - lebih sering - daripada yang
Tuan berziarah sekarang ini?" Kemudian turunlah ayat - yang ertinya: - Dan kami
tidak turun melainkan dengan perintah Tuhanmu. BagiNya adalah apa yang ada di
hadapan serta di belakang kita [36] dan apa saja yang ada di
antara yang tersebut itu." (Maryam: 64) (Riwayat Imam Bukhari)
365.
Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Janganlah
engkau bersahabat, melainkan orang yang mu'min dan janganlah makan makananmu itu
kecuali orang yang bertaqwa." Diriwayatkan oleh
Imam-imam Abu Dawud
dan Tirmidzi dengan isnad yang tidak mengapa - untuk
dijadikan pegangan.
366.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:
"Seseorang itu adalah
menurut agama kekasihnya.
Maka hendaklah seseorang dari engkau semua itu melihat – meneliti
benar-benar - orang yang dijadikan kekasihnya itu."
Diriwayatkan
oleh Imam-imam Abu
Dawud dan Tirmidzi dengan isnad shahih dan
Imam Tirmidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.
367. Dari Abu Musa
al-Asy'ari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:
"Seseorang itu
beserta orang yang dicintainya." (Muttafaq 'alaih)
Dalam suatu riwayat
lain disebutkan: Abu Musa r.a. berkata: "Nabi s.a.w. ditanya: "Ada seseorang
mencintai sesuatu kaum, tetapi ia tidak pernah menemui mereka itu,
bagaimanakah?" Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Seseorang itu beserta orang yang
dicintainya."
368. Dari Anas r.a.
bahawasanya ada seorang A'rab - orang Arab pedalaman - berkata kepada Rasulullah
s.a.w.: "Bilakah datangnya hari kiamat?" Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:
"Apakah yang telah engkau persiapkan untuk menemuinya?" A'rab itu menjawab:
"Kecintaanku kepada Allah dan RasulNya." Kemudian beliau s.a.w. bersabda:
"Engkau akan menyertai orang yang engkau cintai." (Muttafaq 'alaih)
Ini adalah lafaz Imam
Muslim. Dalam riwayat Imam Bukhari dan Muslim lainnya, disebutkan
demikian:
A'rab berkata: "Saya
tidak menyiapkan sesuatupun untuk menemui hari kiamat itu, baik yang berupa
banyaknya puasa, shalat atau sedekah, tetapi saya ini adalah mencintai Allah dan
RasulNya."
369. Dari Ibnu Mas'ud
r.a. katanya: "Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata:
"Ya Rasulullah, bagaimanakah pendapat Tuan mengenai seseorang yang mencintai
sesuatu kaum, tetapi tidak pernah menemui kaum itu?" [37]
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seseorang itu beserta orang yang dicintainya."
(Muttafaq 'alaih)
370. Dari Abu
Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Para manusia ini adalah bagaikan benda
logam, sebagaimana juga logam emas dan perak. Orang-orang pilihan di antara
mereka di zaman Jahiliyah adalah orang-orang pilihan pula di zaman Islam,
jikalau mereka menjadi pandai - dalam hal agama. Ruh-ruh itu adalah sekumpulan
tentera yang berlain-lainan, maka mana yang dikenal dari golongan ruh-ruh tadi
tentulah dapat menjadi rukun damai, sedang mana yang tidak dikenalinya dari
golongan ruh-ruh itu tentulah berselisihan - maksudnya ruh baik berkumpulnya
ialah dengan ruh baik, sedang yang buruk dengan yang buruk." (Riwayat
Muslim)
Imam Bukhari
meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. Al-Arwah dan seterusnya itu dari riwayat
Aisyah radhiallahu 'anha.
Keterangan:
Dalam menafsiri
pengertian perihal ruh itu ada yang saling kenal-mengenal yakni 'Ta'aruf
dan ada yang tidak saling kenal-mengenal yakni Tanakur, maka Imam
Ibnu Abdissalam berkata sebagai berikut:
"Hal itu yakni kenal
atau tidak kenal, maksudnya adalah mengenai keadaan sifat. Ertinya andaikata
anda mengetahui seseorang yang berlainan sifatnya dengan anda, misalnya anda
seorang yang berbakti kepada Allah dan yang dikenal itu orang yang tidak
berbakti atau mengaku ketiadaan Allah, sekalipun kenal orangnya, tetapi tidak
saling kenal-mengenal jiwa, ruh ataupun faham yang dianutnya. Sebaliknya jika
orang itu sama dengan anda perihal keadaan sifatnya, sama-sama berbaktinya
kepada Allah, sama-sama berjuang untuk meluhurkan kalimat Allah, sama-sama
membenci kepada kemungkaran dan kemaksiatan, maka selain kenal orangnya, juga
sesuai jiwanya, sesuai ruhnya dan sejalan dalam faham yang dianutnya. Oleh sebab
itu dalam sebuah Hadis lain disebutkan bahawa seseorang yang merasa jiwanya itu
masih lari atau enggan mengikuti ajakan orang yang mulia dan utama amalannya,
pula bagus kelakuannya, hendaknya segera mencari sebab-sebabnya, sekalipun ia
sudah mengaku sebagai manusia muslim. Selanjutnya setelah penyakitnya ditemukan,
hendaknya secepatnya diubati dan dibuang apa yang menyebabkan ia sakit
sedemikian. Cara inilah yang sebaik-baiknya untuk menyelamatkan diri dari sifat
yang buruk, sehingga ruhnya dan jiwanya dapat saling berkenalan dengan golongan
orang-orang yang baik pula ruh dan jiwanya."
371. Dari Usair bin
Amr, ada yang mengatakan bahawa ia adalah bin Jabir - dengan dhammahnya hamzah
dan fathahnya sin muhmalah, katanya: "Umar bin Alkhaththab ketika didatangi oleh
sepasukan pembantu - dalam peperangan - dari golongan penduduk Yaman, lalu ia
bertanya kepada mereka: "Adakah di antaramu semua seorang yang bernama Uwais bin
'Amir?" Akhirnya sampailah Uwais itu ada di mukanya, lalu Umar bertanya: "Adakah
anda bernama Uwais." Uwais menjawab: "Ya." Ia bertanya lagi: "Benarkah dari
keturunan kabilah Murad dari lingkungan suku Qaran?" Ia menjawab: "Ya." Ia
bertanya pula: "Adakah anda mempunyai penyakit supak, kemudian anda sembuh
daripadanya, kecuali hanya di suatu tempat sebesar wang dirham?" Ia menjawab:
"Ya." Ia bertanya lagi: "Adakah anda mempunyai seorang ibu?" Ia menjawab: "Ya."
Umar lalu berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Akan datang padamu
semua seorang bernama Uwais bin 'Amir beserta sepasukan mujahidin dari ahli
Yaman, ia dari keturunan Murad dari Qaran. Ia mempunyai penyakit supak lalu
sembuh dari Penyakitnya itu kecuali di suatu tempat sebesar wang dirham. Ia juga
mempunyai seorang ibu yang ia amat berbakti padanya. Andaikata orang itu
bersumpah akan sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan melaksanakan sumpahnya
itu - dengan sebab amat berbaktinya terhadap ibunya itu. Maka jikalau engkau
kuasa meminta padanya agar ia memintakan pengampunan - kepada Allah - untukmu,
maka lakukanlah itu!" Oleh sebab itu, mohonkanlah pengampunan kepada Allah -
untukku. Uwais lalu memohonkan pengampunan untuk Umar. Selanjutnya Umar bertanya
lagi: "Ke manakah anda hendak pergi?" Ia menjawab: "Ke Kufah." Umar berkata:
"Sukakah anda, sekiranya saya menulis - sepucuk surat - kepada gabenor Kufah -
agar anda dapat sambutan dan pertolongan yang diperlukan." Ia menjawab: "Saya
lebih senang menjadi golongan manusia yang fakir-miskin."
Setelah tiba tahun
mukanya, ada seorang dari golongan bangsawan Kufah berhaji, lalu kebetulan ia
menemui Umar, kemudian Umar menanyakan padanya perihal Uwais. Orang itu
menjawab: Sewaktu saya tinggalkan, ia dalam keadaan buruk rumahnya lagi
sedikit barangnya - maksudnya
sangat menderita." Umar lalu
berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Akan datang padamu
semua seorang bernama Uwais bin 'Amir beserta sepasukan mujahidin dari ahli
Yaman, ia dari keturunan Murad dari Qaran. Ia mempunyai penyakit supak lalu
sembuh dari penyakitnya itu kecuali di suatu tempat sebesar wang dirham. Ia juga
mempunyai seorang ibu yang ia amat berbakti padanya. Andaikata orang itu
bersumpah akan sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan melaksanakan sumpahnya
itu. Maka jikalau engkau kuasa meminta padanya agar ia memintakan pengampunan -
kepada Allah untukmu, maka lakukan itu!" Orang bangsawan itu lalu mendatangi
Uwais dan berkata: "Mohonkanlah pengampunan - kepada Allah -untukku. Uwais
berkata: "Anda masih baru saja waktunya melakukan perjalanan yang baik - yakni
ibadat haji, maka sepatutnya memohonkanlah pengampunan untukku." Uwais lalu
melanjutkan katanya: "Adakah anda bertemu dengan Umar?" Ia menjawab: "Ya". Uwais
lalu memohonkan pengampunan untuknya. Orang-orang banyak lalu mengerti siapa
sebenarnya Uwais itu, mereka mendatanginya, kemudian Uwais berangkat - keluar
dari Kufah menurut kehendaknya sendiri." (Riwayat
Muslim)
Dalam riwayat Imam
Muslim lainnya disebutkan: "Dari Usair bin Jabir bahawasanya ahli Kufah sama
bertemu kepada Umar r.a. dan di antara mereka ada seorang lelaki yang
menghina-hinakan Uwais. Umar lalu bertanya: "Apakah di situ ada seorang dari
keturunan Qaran?" Orang yang dimaksudkan itu lalu datang padanya. Umar kemudian
berkata: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Sesungguhnya ada
seorang lelaki dari Yaman, akan datang padamu semua. Ia bernama Uwais. Dia tidak
meninggalkan sesuatu di Yaman itu melainkan seorang ibu. Ia mempunyai penyakit
supak, lalu berdoa kepada Allah Ta'ala, lalu Allah melenyapkan penyakitnya tadi,
kecuali di suatu tempat sebesar wang dinar atau dirham. Maka barangsiapa di
antara engkau semua bertemu dengannya, hendaklah meminta padanya agar ia
memohonkan pengampunan - kepada Allah - untuknya."
Juga disebutkan dalam
riwayat Imam Muslim lagi dari Umar, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Sesungguhnya
sebaik-baiknya kaum tabi'in ialah seorang lelaki bernama Uwais. Ia mempunyai
seorang ibu dan pada tubuhnya ada putih-putih -
kerana penyakit supak, maka
suruhlah ia supaya memohonkan pengampunan
untuk semua."
Sabda Nabi s.a.w.
Ghabraan-un nas, dengan fathahnya ghain mu'jamah, saknahnya ba' serta mad
(dibaca panjang ra'nya). Ertinya golongan manusia yang fakir-miskin dan rakyat
jelata atau rendahan dan tidak diketahui pula dari lingkungan mana sebenarnya
orang itu, sedang Al-Amdad adalah jamaknya Madad, iaitu para penolong dan
pembantu yang memberikan pertolongan serta bantuan kepada kaum Muslimin dalam
berjihad atau perjuangan menegakkan agama Allah.
372. Dari Umar bin
Alkhaththab r.a., katanya: "Saya meminta izin kepada Nabi s.a.w. untuk
menunaikan umrah, lalu beliau mengizinkan dan bersabda: "Jangan melupakan kita,
hai saudaraku, untuk mendoakan kita." Beliau s.a.w. telah mengucapkan suatu
kalimat - meminta ikut disertakan dalam doa - yang saya tidak senang memperoleh
seisi dunia ini sebagai gantinya" - maksudnya bahawa kalimat yang disabdakan
oleh beliau s.a.w. bagi Umar r.a. amat besar nilainya yakni melebihi dari nilai
dunia dan seisinya.
Hadis shahih yang
diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi mengatakan bahawa ini adalah
Hadis hasan shahih.
373. Dari Ibnu Umar
radhiallahu 'anhuma, katanya: "Nabi s.a.w. berziarah ke Quba' [38] sambil berkendaraan serta berjalan, kemudian beliau
bersembahyang dua rakaat." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat lain
disebutkan: "Nabi s.a.w. mendatangi masjid Quba' setiap hari Sabtu sambil
berkenderaan dan berjalan dan Ibnu Umar juga melakukan seperti itu."
-
Firman Allah
Ta'ala dalam surah al-Kahfi di atas adalah ayat 60, sedang yang di bawahnya
adalah ayat 65.
Adapun
ayat-ayat yang terletak di antara keduanya itu ialah ayat-ayat 61, 62, 63, 64
dan 65. Kelengkapannya adalah sebagai berikut:
-
Sesudah keduanya (yakni Musa dan bujangnya) telah sampai di pertemuan
kedua lautan itu, mereka lupa kepada ikannya (yang dibawa sebagai bekal), lalu
ikan itu melompat mengambil jalannya sendiri di lautan (61)
- Setelah
keduanya berjalan lebih jauh, ia (Musa) berkata pada bujangnya: "Ambillah
makanan kita, sungguh kita telah merasa lelah sebab (jauhnya) perjalanan kita
ini (62)
-
Bujangnya menjawab; "Tidakkah Tuan ketahui bahawa ketika kita mencari
tempat perlindungan (peristirahatan) di batu besar tadi, saya benar-benar lupa
kepada ikan itu dan tiada lain yang menyebabkan saya terlupa itu selain syaitan
jua. Ikan itu lalu mengambil jalannya di lautan. Ini amat mengherankan sekali
untuk mengingatnya (63)
-
Ia (Musa) berkata: "Itulah
tempat yang kita cari," kemudian keduanya kembali mengikuti
jejaknya semula (64)
-
Lalu keduanya mendapati seseorang dari hamba-hamba Kami (Tuhan) yang
telah Kami berikan kurnia kepadanya iaitu kerahmatan dari sisi Kami dan Kami
ajarkan kepadanya ilmu pengetahuan dari berbagai ilmu yang ada pada Kami
(65)
-
Maksudnya ialah bahawa bagi
Allah itu adalah semua yang ada di muka dan di belakang kita serta apa pun yang
ada di antara keduanya itu, baik mengenai waktu dan tempat. Oleh sebab itu kita
semua ini tidak dapat berpindah dari satu keadaan atau tempat kepada keadaan
atau tempat yang lain, kecuali dengan perintah dan kehendak Allah
sendiri.
-
Dalam riwayat
Imam Ibnu Hibban ada tambahannya sesudah kata-kata "Walam yalhaq
bihim", sedang tambahannya itu berbunyi:
Ertinya:
"Dan orang itu tidak dapat
mengamalkan sebagaimana yang diamalkan oleh kaum yang dicintainya
itu."
-
Quba' adalah sebuah desa
yang jaraknya dari Madinah ada sefarsakh atau kira-kira 5 km. Di situ ada
masjidnya yang terkenal, yakni masjid yang didirikan oleh Nabi s.a.w. yang
pertama kali, sedang yang kedua ialah masjid Nabawi di Madinah
|
Post a Comment