Marah Jikalau Kehormatan-kehormatan Syara' Dilanggar

                                                                                                                                                                                                                                                                                  
 
 

Marah Jikalau Kehormatan-kehormatan Syara' Dilanggar Dan Membantu Untuk Kemenangan Agama Allah Ta'ala

Allah Ta'ala berfirman:
"Dan barangsiapa yang mengagungkan peraturan-peraturan suci dari Allah, maka itulah yang terbaik baginya di sisi Tuhannya." (al-Haj: 30)
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Jikalau engkau memberikan pertolongan kepada agama Allah maka Allah pasti memberikan pertolongan kepadamu semua dan menetapkan kaki-kakimu." (Muhammad: 7)
Dalam bab ini Hadis-hadisnya termasuklah Hadis Aisyah yang terdahulu dalam bab Memaafkan.

647. Dari Abu Mas'ud iaitu 'Uqbah bin 'Amr al-Badri r.a., katanya: "Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w., lalu berkata: "Sesungguhnya saya nescayalah membelakangkan diri dari solat subuh - yakni tidak ikut berjema'ah - kerana si Fulan itu, kerana ia memanjangkan bacaan surahnya untuk kita."
Maka saya - Abu Mas'ud - sama sekali tidak pernah melihat Nabi s.a.w. marah dalam nasihatnya lebih daripada marahnya pada hari itu. Beliau s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, sesungguhnya di antara engkau semua ada orang-orang yang menyebabkan larinya orang lain. Maka siapa saja di antara engkau semua yang menjadi imam orang banyak - dalam bersembahyang - hendaklah ia menyingkatkan bacaannya, sebab sesungguhnya di belakangnya itu ada orang yang sudah tua, anak kecil dan ada pula orang yang segera hendak mengurus keperluannya." (Muttafaq 'alaih)

648. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. datang dari berpergian dan saya telah memberikan tutup dalam rumahku dengan tabir yang tipis sekali, di situ ada beberapa gambar boneka. Setelah Rasulullah s.a.w. melihatnya lalu dirosaknya dan berubahlah warna wajahnya serta bersabda:
"Hai Aisyah, sesangat-sangatnya manusia dalam hal seksanya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang-orang yang menyamai dengan apa-apa yang diciptakan oleh Allah." (Muttafaq 'alaih)

649. Dari Aisyah radhiallahu 'anha pula bahawasanya orang-orang Quraisy disedihkan oleh peristiwa seorang wanita dari golongan Makhzum yang mencuri - dan wajib dipotong tangannya. Mereka berkata: "Siapakah yang berani memperbincangkan soal wanita ini dengan Rasulullah s.a.w.?" Kemudian mereka berkata pula: "Tidak ada rasanya seseorang pun yang berani mengajukan perkara ini - maksudnya untuk meminta supaya dimaafkan dan hukuman potong tangan diurungkan - melainkan Usamah bin Zaid, iaitu kecintaan Rasulullah s.a.w. Usamah lalu membicarakan hal tersebut pada beliau s.a.w., kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau hendak meminta tolong dihapuskannya sesuatu had - hukuman - dari had-had yang ditentukan oleh Allah Ta'ala?" Seterusnya beliau berdiri dan berkhutbah: "Hanyasanya yang menyebabkan rosak akhlaknya orang-orang yang sebelummu semua itu ialah kerana mereka itu apabila yang mencuri termasuk golongan yang mulia di kalangan mereka, orang tersebut mereka biarkan saja-yakni tidak diterapi hukuman apa-apa, sedang apabila yang mencuri itu orang yang lemah - miskin dan tidak berkuasa, maka mereka laksanakanlah hadnya. Demi Allah yang mengurniakan keberkahan, andaikata Fathimah puteri Muhammad itu mencuri nescaya-lah saya potong pula tangannya,"-yakni sekalipun anak sendiri juga harus diterapi hukuman sebagaimana orang lain. (Muttafaq 'alaih)

650. Dari Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melihat ada hingus di arah kiblat, maka hal itu dirasakan amat berat sekali dalam hatinya, sehingga nampaklah di wajah beliau itu. Selanjutnya beliau berdiri dan menggaruknya - yakni menggosok-gosoknya - dengan tangan nya - dan hingus itu dapat hilang sebab telah kering. Kemudian beliau s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya apabila seseorang di antara engkau semua itu berdiri dalam solatnya, maka sebenarnya ia sedang bermunajat kepada Tuhannya di kala itu dan bahawasanya Tuhannya itu di antara dirinya dan antara kiblat. Maka dari itu janganlah seseorang di antara engkau semua itu berludah di arah kiblat, tetapi berludahlah di arah kiri atau di bawah kakinya." Seterusnya beliau s.a.w. mengambil hujung selendangnya, lalu berludah di situ, kemudian membolak-balikkan sebahagian selendang itu dengan bahagian lainnya - yakni digosok-gosokkan ludah tadi dengan kain selendang nya berulang kali. Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Atau mengerjakan sedemikian ini." (Muttafaq 'alaih)
Adapun perintah berludah di arah kiri atau di bawah kaki itu apabila orang tersebut bersembahyangnya tidak di dalam masjid. Tetapi jikalau di dalam masjid, maka janganlah berludah melainkan wajib diletakkan dalam pakaiannya sendiri.



Nota kaki:

 
Muka depan
 
 
     

Tidak ada komentar