Memaafkan Dan
Tidak Menghiraukan Orang-orang Yang Bodoh
Allah
Ta'ala berfirman:
"Berilah
pengampunan, perintahlah kebaikan dan janganlah engkau menghiraukan kepada
tindakan orang-orang yang bodoh." (al-A'raf: 199)
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Berilah orang-orang
itu maaf yang baik." (al-Hijr: 85) Allah Ta'ala
berfirman lagi:
"Hendaklah mereka
memberikan pengampunan dan kelapangan dada. Tidakkah engkau semua senang jikalau
Allah memberikan pengampunan pula kepadamu?" (an-Nur: 22)
Allah Ta'ala juga
berfirman:
"Dan orang-orang yang
suka memaafkan kepada orang banyak dan Allah itu mencintai orang-orang yang
berbuat kebaikan." (ali-lmran: 134)
Allah Ta'ala
berfirman lagi:
"Dan nescayalah orang yang berhati sabar dan
suka memaafkan, sesungguhnya hal yang sedemikian itu adalah termasuk
pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan dengan keteguhan hati."
(as-Syura: 43)
Ayat-ayat dalam bab
ini banyak sekali dan dapat dimaklumi.
641. Dari Aisyah
radhiallahu 'anha, bahawasanya ia berkata kepada Nabi
s.a.w.: "Adakah pernah datang pada Tuan suatu hari yang lebih sukar
penderitaannya daripada hari peperangan Uhud?" Beliau s.a.w. menjawab: "Ya, saya
benar-benar pernah menemui peristiwa gawat itu dari kaummu. Sesuatu yang saya
hadapi yang terberat penderitaannya dari mereka itu ialah pada hari 'Aqabah.
Pada suatu ketika saya menawarkan diriku kepada Ibnu Abdi Jalil bin Aban Kulal -
salah seorang terkemuka di daerah Thaif dan kedatangan Nabi s.a.w. ke situ
adalah untuk meminta bantuan. Tetapi ia tidak mengabulkan apa-apa yang saya
kehendaki. Selanjutnya saya pun berangkatlah - kembali - dan
saya dalam keadaan dukacita, nampak di wajahku. Saya tidak
sedar dari keadaan
sedemikian itu melainkan setelah saya berada di Qarnuts Tsa'alib - nama suatu
tempat. Kemudian saya mengangkat kepalaku, tiba-tiba nampaklah suatu awan yang
menaungi diriku. Saya melihat ke atas dan sekonyong-konyong di situ ada Jibril Alaihis-salam.
Ia mengundang saya, lalu berkata: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah mendengar
perihal pembicaraan kaum Tuan kepada Tuan dan bagaimana cara penolakan mereka
atas permintaan Tuan itu. Allah kini mengutus untuk Tuan malaikat penjaga
gunung-gunung supaya Tuan dapat menyuruhnya tentang apa saja yang Tuan
inginkan." Seterusnya malaikat penjaga gunung-gunung itu mengundang saya, lalu
memberi salam terus berkata: "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar
apa yang dikatakan oleh kaum Tuan kepada Tuan dan saya adalah malaikat penjaga
gunung-gunung. Tuhanku mengutus saya untuk Tuan agar Tuan menyuruh saya dengan
mematuhi perintah Tuan. Maka apakah kiranya Tuan suka, sekiranya Tuan
menginginkan, jikalau umpamanya saya tutupkan saja atas kaum Tuan itu dua buah
gunung ini?" Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Bahkan saya mengharapkan agar Allah
mengeluarkan dari tulang rusuk kaumku itu orang yang suka menyembah kepada Allah
yang Maha Esa serta tidak menyekutukan sesuatu denganNya." Jadi tawaran malaikat
penjaga gunung itu tidak diterima, bahkan mendoakan semoga di antara kaumnya itu
ada yang menjadi orang mu'min dan Muslim. (Muttafaq 'alaih)
Al-akhsyaban
ialah dua gunung yang
mengelilingi kota Makkah, sedang
al-akhsyab ertinya ialah gunung
besar.
642. Dari Aisyah
radhiallahu 'anha pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu sama sekali tidak pernah memukul
dengan tangannya, baik terhadap seseorang wanita ataupun pelayan, melainkan di
waktu beliau s.a.w. sedang berjihad fi-sabilillah - yakni di medan pertempuran
melawan kaum kafir. Tidak pernah pula beliau s.a.w. itu terkena sesuatu yang
menyakiti, lalu memberikan pembalasan kepada orang yang berbuat terhadap beliau
itu, kecuali jikalau ada sesuatu dari larangan-larangan Allah dilanggar, maka
beliau memberikan pembalasan kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta'ala." (Riwayat
Muslim)
643. Dari Anas r.a.,
katanya: "Saya berjalan bersama Rasulullah s.a.w. dan beliau mengenakan baju
buatan negeri Najran yang kasar tepinya, kemudian beliau disusul oleh seorang
A'rab - penduduk negeri Arab bahagian pedalaman, lalu ditariklah
selendang beliau itu dengan tarikan yang keras sekali. Saya - Anas - melihat
pada tepi leher Nabi s.a.w. dan amat membekas sekali tepi pakaian tadi
kerana amat sangat ditariknya.
Selanjutnya orang A'rab itu berkata: "Ya Muhammad, perintahkanlah untuk
memberikan padaku sesuatu dari harta Allah yang ada di sisi Tuan." Nabi s.a.w.
lalu menoleh pada orang itu terus ketawa dan selanjutnya menyuruh supaya orang
tadi diberi sesuatu pemberian sedekah." (Muttafaq 'alaih)
644. Dari Ibnu Mas'ud
r.a., katanya: "Seolah-olah - sekarang -saya masih dapat melihat kepada
Rasulullah s.a.w. ketika beliau menceriterakan seseorang Nabi dari para
Nabi-nabi shalawatullah wasalamuhu'alaihim, iaitu ketika Nabi tadi dipukul
oleh kaumnya, sehingga mereka menyebabkan keluar darahnya dan Nabi itu mengusap
darah tersebut dari wajahnya sambil berdoa: "Ya Allah, ampunilah kaumku,
kerana sesungguhnya mereka itu tidak
mengerti." (Muttafaq 'alaih)
645. Dari Abu
Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Bukannya orang yang
keras - yang terpuji menurut syara' - itu orang yang menang dalam perkelahian,
tetapi yang dinamakan orang keras ialah orang yang dapat memiliki-menguasai
-dirinya di waktu marah." (Muttafaq 'alaih)
Muka depan |
Post a Comment