|
Mengharapkan
Allah
Ta'ala berfirman:
"Katakantah, hai hamba-hambaKu yang melampaui batas dalam mencelakakan
dirinya sendiri - yang berlebih-lebihan dalam melakukan kemaksiatan, janganlah
engkau semua berputus asa dari rahmat Allah - yakni dari pengampunanNya,
sesungguhnya Allah itu dapat mengampuni segala macam dosa, sesungguhnya Dia
adalah Maha Pengampun lagi Penyayang." (az-Zumar: 53)
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Dan Kami tidak akan
memberikan pembalasan, melainkan kepada orang yang sangat keras kepala."
(Saba': 17)
Allah Ta'ala
berfirman pula:
"Sesungguhnya telah
diwahyukan kepada kami bahawa siksaan itu adalah untuk orang yang mendustakan
dan membelakang tidak suka menerima petunjuk Allah." (Thaha: 48)
Juga Allah Ta'ala
berfirman:
"Dan rahmatKu melebar
- meliputi - segala sesuatu." (al-A'raf: 156)
Keterangan:
Judul dalam bab ini
ialah "Mengharapkan", maksudnya mengharapkan agar supaya kita mendapatkan
keredhaan, kerahmatan, kasih sayang serta pengampunan dari Allah
Ta'ala.
Seseorang yang
mengharapkan sebagaimana di atas itu dari Allah Ta'ala ada kalanya disertai
dengan amal perbuatan yang menyebabkan dapat dikabulkan permohonannya itu oleh
Allah, tetapi ada pula yang tidak disertai apa-apa. Jadi hanya mengharapkan saja
tanpa berbuat sesuatu yang menyebabkan terkabulnya. Mengharapkan sebagaimana
yang tersebut pertama itu disebut Raja' sedang yang kedua disebut
Tamanni.
Secara ringkasnya,
apabila kita mengharapkan keselamatan di dunia dan akhirat dan kita sertai amal
perbuatan yang nyata, memenuhi apa-apa yang diperintahkan oleh Allah,
meninggalkan apa-apa yang dilarang olehNya, segala kewajipan yang dibebankan
kepada kita, baik terhadap Allah, mahupun terhadap masyarakat kita penuhi maka
insya Allah terkabullah harapan kita dan di akhirat akan kita temui pula
pahalanya yakni masuk dalam syurga. Sebaliknya kalau semua itu tidak kita
laksanakan, apalagi jika ditambah dengan mengerjakan kemungkaran dan
kemaksiatan, kemudian mengharapkan pengampunan Allah, maka jangan diharap akan
dikabulkan bahkan sebaliknya, iaitu di dunia hati kita tidak tenang dan selalu
gelisah, sedang azab Allah di akhirat sudah menanti-nantikan iaitu dilemparkan
ke dalam api neraka.
Jadi yang wajib kita
lakukan ialah Raja' dan bukannya Tamanni.
411. Dari 'Ubadah bin
ash-Shamit r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang
menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu
bagiNya,dan bahawasanya Muhammad adalah hambaNya serta RasulNya, dan bahawasanya
Isa adalah hamba Allah dan RasulNya serta kalimatNya diberikan kepada Maryam -
kerana wujudnya itu tanpa ayah, juga sebagai ruh daripadaNya - kerana dapat
menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah, menyaksikan pula bahawa syurga
dan neraka itu benar adanya, maka orang yang sedemikian itu akan dimasukkan oleh
Allah ke dalam syurga sesuai dengan amalan yang dilakukan olehnya."(Muttafaq
'alaih)
Dalam riwayat Muslim
disebutkan: "Barangsiapa yang menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan
Allah dan bahawasanya Muhammad adalah Rasulullah maka Allah mengharamkan ia
masuk neraka."
412. Dari Abu Zar
r.a., katanya: "Nabi s.a.w. bersabda: "Allah Azzawajalla berfirman - dalam Hadis
Qudsi: "Barangsiapa yang datang - mengerjakan - kebaikan, maka baginya adalah
pahala sepuluh kali lipatnya atau Aku tambahkan dan barangsiapa yang datang -
melakukan - keburukan balasannya keburukan ialah keburukan yang seperti itu atau
Aku ampunkan dosanya. Barangsiapa yang mendekat padaKu sejengkal, maka Aku
mendekat padanya sehasta, barangsiapa yang mendekat padaKu sehasta, maka Aku
mendekat padanya sedepa. Barangsiapa yang datang di tempatKu dengan berjalan,
maka Aku akan mendatanginya dengan bergegas-gegas. Barangsiapa yang menemui Aku
dengan membawa kesalahan hampir sepenuh bumi, maka asalkan ia tidak menyekutukan
sesuatu denganKu, tentu Aku akan menemuinya dengan pengampunan sebanyak
kesalahan yang dilakukan olehnya." (Riwayat Muslim)
Makna Hadis di atas
ialah barangsiapa yang mendekat kepadaKu dengan melakukan ketaatan, maka Aku
akan mendekatinya dengan memberikan kerahmatanKu, jikalau itu ditambah oleh
orang itu, maka kerahmatan itu pun Kutambahkan. Jikalau seseorang itu datang
padaKu dengan berjalan dan bergegas-gegas dalam melakukan ketaatan padaKu, maka
Aku akan mendatanginya dengan bergegas-gegas pula yakni bahawa Aku akan
menuangkan padanya kerahmatan yang berlimpah-ruah dan Aku mendahuluinya untuk
melakukan itu dan Aku tidak memerlukan supaya ia berjalan terlalu banyak untuk
dapat sampai kepada yang dimaksudkan itu.
Qurabul ardhi
dengan dhammahnya qaf dan ada
yang mengatakan dengan kasrahnya, tetapi dengan dhammah adalah lebih shahih dan
lebih tersohor, sedang maknanya ialah sesuatu yang hampir sepenuh bumi. Wallahu
a'lam.
413. Dari Jabir r.a.,
katanya: "Ada seorang A'rab - orang Arab dari pedalaman - datang kepada Nabi
s.a.w., lalu berkata: "Ya Rasulullah, apakah dua hal yang mewajibkan itu?"
Beliau s.a.w. menjawab: "Barangsiapa yang mati tidak menyekutukan sesuatu dengan
Allah, maka masuklah ia dalam syurga - jadi ini yang mewajibkan ia masuk syurga.
Sebaliknya barangsiapa yang mati dan menyekutukan sesuatu dengan Allah, maka
masuklah ia dalam neraka - jadi ini yang mewajibkan ia masuk neraka." (Riwayat
Muslim)
414. Dari Anas r.a.
bahawasanya Nabi s.a.w. dan Mu'az ada di belakangnya sama-sama menaiki suatu
kenderaan. Beliau s.a.w. bersabda: "Hai Mu'az. Mu'az menjawab: "Labbaik, ya
Rasulullah, wa sa'daik," - ini adalah kata-kata mengiyakan bagi orang Arab yang
amat sopan sekali.
Beliau s.a.w.
bersabda lagi: "Hai Mu'az. Mu'az menjawab: "Labbaik, ya Rasulullah wa sa'daik."
Beliau s.a.w. bersabda lagi: "Hai Mu'az. Mu'az menjawab: "Labbaik, ya Rasulullah
wa sa'daik." Tiga kali banyaknya. Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Tiada
seorang hamba pun yang menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan
bahawasanya Muhammad adalah hamba Allah dan RasulNya, dengan penuh keyakinan
dalam hatinya, melainkan Allah akan mengharamkan orang itu masuk ke dalam
neraka." Mu'az berkata: "Ya Rasulullah, bukankah lebih baik jikalau berita ini
saya khabarkan kepada seluruh manusia, supaya mereka itu ikut bergembira."
Beliau s.a.w. menjawab: "Kalau itu diberitahukan tentu orang-orang akan hanya
bertawakal saja - yakni tanpa beramal ibadat dan merasa akan selamat dengan
ucapan syahadat belaka dan yang sedemikian tentulah salah jadinya. Oleh sebab
itu Mu'az memberitahukan sabda beliau s.a.w. ini sewaktu hendak matinya saja
kerana takut berdosa." (Muttafaq 'alaih)
Perkataan Anas r.a.:
Ta-atstsuman iaitu takut berdosa kerana menyimpan ilmu ini - yakni
apa-apa yang diterima dari Nabi s.a.w. itu.
415. Dari Abu
Hurairah r.a. atau dari Abu Said al-Khudri radhiallahu 'anhuma - yang merawikan
Hadis ini ragu-ragu apakah dari Abu Hurairah atau dari Abu Said, tetapi
keragu-raguan semacam ini tidak membahayakan shahihnya Hadis dalam diri sahabat,
sebab semua itu adalah orang-orang adil, katanya: "Ketika terjadi perang Tabuk,
maka orang-orang sama menderita kelaparan, lalu mereka berkata: "Ya Rasulullah
bagaimana andaikata Tuan izinkan saja kita menyembelih unta-unta kita, kemudian
kita dapat bersama-sama makan dan berminyak - dengan lemaknya. Rasulullah s.a.w.
lalu bersabda: "Lakukanlah itu - yakni sembelihlah." Kemudian datanglah Umar
r.a. lalu berkata: "Ya Rasulullah, jikalau Tuan membolehkan itu dilaksanakan,
maka berkuranglah kenderaan yang dapat dinaiki, tetapi panggillah orang-orang
itu dengan membawa sisa-sisa bekalnya sendiri, kemudian berdoalah kepada Allah
untuk mereka agar mendapatkan keberkahan, barangkali Allah akan memberikan
keberkahan dalam makanan mereka." Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Ya." Beliau
s.a.w. meminta didatangkan selembar kulit kering kemudian dibeberkannya, lalu
menyuruh orang-orang itu meletakkan sisa-sisa bekalnya. Di situ ada seorang yang
datang dengan membawa segenggam gandum, yang lainnya datang dengan segenggam
kurma, yang lainnya pula dengan sekerat roti, sehingga berkumpullah di atas
kulit tadi sekadar makanan yang amat sedikit. Selanjutnya Rasulullah mendoakan
agar makanan itu mendapatkan keberkahan Allah, lalu beliau s.a.w. bersabda:
"Ambillah itu di masing-masing wadahmu." Orang-orang sama mengambilnya di
wadahnya sendiri-sendiri sehingga tidak sebuah wadah pun yang mereka tinggalkan
di kalangan tentera itu melainkan sudah diisi penuh-penuh. Mereka dapat makan
sampai kenyang dan masih ada sisa kelebihannya. Seterusnya Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Saya menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya
saya adalah Rasulullah. Tiada seseorang hamba pun yang menemui kedua kalimat
syahadat itu - setelah matinya nanti, sedangkan ia tidak ragu-ragu, lalu ditolak
dari masuk syurga - maksudnya orang yang diketahui mempunyai keyakinan yang
mantap mengenai dua kalimat syahadat itu, pasti tidak terhalang untuk masuk
syurga." (Riwayat Muslim)
416. Dari 'Itban bin
Malik r.a., ia adalah salah seorang yang ikut menyaksikan perang Badar, katanya:
"Saya bersembahyang sebagai imam untuk kaumku iaitu Bani Salim. Antara tempatku
dengan tempat mereka itu dihalang-halangi oleh sebuah lembah yang jikalau banyak
turun hujan, maka sukar saya melaluinya untuk menuju ke masjid mereka itu. Oleh
sebab itu saya datang kepada Rasulullah s.a.w., lalu saya berkata kepadanya:
"Sesungguhnya saya ini sudah kurang terang penglihatanku dan sesungguhnya lembah
yang ada di antara tempatku dengan tempat kaumku itu mengalir airnya jikalau
banyak hujan datang, maka sukarlah bagiku untuk melaluinya. Jadi saya ingin
sekali jikalau Tuan mendatangi tempatku lalu bersembahyang di suatu tempat di
rumahku, yang seterusnya akan saya gunakan sebagai tempat bersembahyang."
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan saya lakukan permintaanmu itu." Maka besoknya
datanglah Rasulullah s.a.w. di tempatku.bersama Abu Bakar r.a. sesudah tinggi
hari - yakni tengah siang. Rasulullah s.a.w. meminta izin masuk lalu saya
izinkan, tetapi beliau tidak suka duduk sehingga akhirnya berkata: "Di manakah
tempat yang engkau inginkan supaya saya bersembahyang di rumahmu ini?" Saya
menunjukkan pada suatu tempat yang saya inginkan supaya beliau bersembahyang di
rumahmu ini?" Saya menunjukkan pada suatu tempat yang saya inginkan supaya
beliau bersembahyang di situ. Rasulullah s.a.w. lalu berdiri, kemudian bertakbir
dan kita berbaris di belakangnya. Beliau s.a.w. bersembahyang dua rakaat
kemudian bersalam dan kita pun bersalam pula ketika beliau bersalam. Seterusnya
beliau s.a.w. saya tahan untuk makan hidangan berupa khazirah yang sengaja
dibuat untuk menghormatinya. Penduduk desa itu sama mendengar bahawasanya
Rasulullah ada di rumahku, Lalu banyaklah orang-orang yang berkumpul dari para
penduduknya itu sehingga banyaklah kaum lelaki di rumahku itu. Kemudian ada
seorang lelaki berkata: "Apakah yang dikerjakan Malik itu, saya tidak
mengetahuinya." Orang lelaki lain berkata: "Ia memang seorang munafik yang tidak
cinta kepada Allah dan RasulNya." Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Janganlah
berkata sedemikian itu. Tidakkah engkau ketahui bahawa ia mengucapkan La ilaha
illallah, yang dengan itu semata-mata mencari keredhaan Allah Ta'ala?" Orang itu
berkata: "Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui. Adapun kita, maka demi
Allah, tidak pernah kita mengetahui akan kecintaannya dan tidak
pula pembicaraannya melainkan
condong kepada kaum munafik saja.
"Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan untuk masuk
neraka orang yang mengucapkan La ilaha illallah yang dengannya itu ia mencari
semata-mata keredhaan Allah." (Muttafaq 'alaih)
'Itban
dengan kasrahnya 'ain muhmalah
dan sukunnya ta' mutsannat, yakni bertitik dua di atas dan sesudahnya itu ada
ba' muwahhadah.
Khazirah
dengan kha' mu'jamah dan zai
ialah tepung yang dimasak dengan lemak. Adapun tsaba rijalun dengan tsa'
mutsallatsah ertinya ialah datang dan berkumpul semua orang-orang lelaki
itu.
417. Dari Umar bin
Alkhaththab r.a., katanya: "Kepada Rasulullah s.a.w. disampaikanlah tawanan
perang. Tiba-tiba ada seorang wanita dari golongan kaum tawanan itu berjalan
ketika menemukan seorang anak yang juga termasuk dalam kelompok tawanan tadi.
Wanita itu lalu mengambil anak tersebut lalu diletakkannya pada perutnya,
kemudian disusuinya. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Adakah engkau semua dapat
mengira-ngirakan bahawa wanita ini akan sampai hati meletakkan anaknya dalam
api?" Kita - yakni para sahabat - menjawab: "Tidak, demi Allah - maksudnya
wanita yang begitu sayang pada anaknya, tidak mungkin akan sampai meletakkan
anaknya dalam api." Selanjutnya beliau s.a.w. bersabda: "Nescayalah Allah itu
lebih kasih sayang kepada sekalian hamba-hambaNya daripada kasih sayangnya
wanita ini kepada anaknya." (Muttafaq 'alaih)
418. Dari Abu
Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ketika Allah
menciptakan semua makhluk, maka ditulislah olehNya dalam suatu kitab, maka kitab
itu ada di sisiNya di atas 'arasy, yang isinya: Bahawasanya kerahmatanKu itu
dapat mengalahkan kemurkaanKu." Dalam riwayat lain disebutkan: "Telah
mengalahkan kemurkaanKu" dan dalam riwayat lainnya lagi disebutkan: "Telah
mendahului kemurkaanKu." - maksudnya bahawa kerahmatan itu jauh lebih besar
daripada kemurkaanNya. (Muttafaq 'alaih)
Keterangan:
Maksudnya
"KerahmatanKu itu mengalahkan atau mendahului kemurkaanKu" itu ialah bahawa
kemurkaan Allah Ta'ala ataupun keredhaanNya itu kembali kepada pengertian iradah
yakni kehendak Allah sendiri. Jadi sudah menjadi kehendak Allah bahawa pahala
itu tentulah diberikan kepada orang yang mentaatiNya, sedangkan seseorang hamba
Allah yang memperolehi kemuliaan dari Allah itu bererti mendapatkan keredhaan
serta kerahmatanNya. Sebaliknya jika Allah berkehendak menyiksa orang yang
melakukan kemaksiatan itu pun sudah sepatutnya, sedang kehinaan yang diterima
oleh manusia semacam itulah yang dinamakan kemurkaan Allah. Jadi pengertian
mendahului dan mengalahkan di sini ialah kerana banyaknya kerahmatan dan apa
saja yang terkandung dalam makna rahmat atau kasih sayang Allah itu.
419. Dari
Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Allah
menjadikan kerahmatan itu sebanyak seratus bahagian, olehNya ditahanlah yang
sembilan puluh sembilan dan diturunkanlah ke bumi yang satu bahagian saja. Maka
dari kerahmatan yang satu bahagian itu sekalian makhluk dapat saling
sayang-menyayangi, sehingga seekor binatang pun pasti mengangkat kakinya dari
anaknya kerana takut kalau akan mengenai - menginjak - anaknya
itu."
Dalam
riwayat lain disebutkan:
Sesungguhnya Allah Ta'ala
memiliki sebanyak seratus kerahmatan dan olehNya diturunkanlah satu bahagian
dari seratus kerahmatan itu untuk diberikan kepada golongan jin, manusia,
binatang dan segala yang merayap. Maka dengan satu kerahmatan itu mereka dapat
saling kasih-mengasihi, dengannya pula dapat sayang menyayangi, bahkan dengannya
pula binatang buas itu menaruh hiba hati kepada anaknya. Allah mengakhirkan yang
sembilan puluh sembilan kerahmatan itu yang dengannya Allah akan merahmati
hamba-hambaNya pada hari kiamat." (Muttafaq 'alaih)
Juga
diriwayatkan Hadis seperti itu dari riwayat Salman al-Farisi r.a., katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah itu
memiliki seratus kerahmatan, maka di antara seratus itu ada satu bahagian
kerahmatan yang dengannya sekalian makhluk dapat saling kasih-mengasihi antara
sesamanya, sedang yang sembilan puluh sembilan untuk hari kiamat
nanti."
Dalam
riwayat lain disebutkan:
"Sesungguhnya Allah itu di
waktu menciptakan semua langit dan bumi, diciptakan pula olehNya seratus
kerahmatan, setiap kerahmatan itu dapat merupakan tutup yang memenuhi alam di
antara langit dan bumi. [43] Kemudian dari seratus tadi yang
satu kerahmatan dijadikan untuk diletakkan di bumi, maka dengan satu kerahmatan
inilah seseorang ibu dapat mengasihi anaknya, binatang buas dan burung,
sebahagian kepada setengah yang lainnya. Selanjutnya apabila telah tiba hari
kiamat, Allah akan menyempurnakan dengan kerahmatan ini - yakni dilengkapkan
menjadi seratus penuh."
420. Dari
Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w. dalam suatu riwayat yang diceritakannya
dari Tuhannya yakni Allah Ta'ala sabdanya:
"Jikalau
seseorang hamba itu melakukan sesuatu dosa lalu ia berkata: "Ya Allah, ampunilah
dosaku," maka berfirmanlah Allah Tabaraka wa Ta'ala: "HambaKu melakukan sesuatu
yang berdosa, lalu ia mengerti bahawa ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni
dosa dan dapat pula memberikan hukuman sebab adanya dosa itu." Kemudian apabila
hamba itu mengulangi untuk berbuat dosa lagi, lalu ia berkata: "Ya Tuhanku,
ampunilah dosaku," maka Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman: "HambaKu melakukan
sesuatu yang berdosa lagi, tetapi ia tetap mengetahui bahawa ia mempunyai Tuhan
yang dapat mengampuni dosa dan dapat pula memberikan hukuman sebab adanya dosa
itu." Seterusnya apabila hamba mengulangi dosa lagi lalu berkata: "Ya Tuhanku,
ampunilah dosaku," maka Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman: "HambaKu berbuat
dosa lagi, tetapi ia mengetahui bahwa ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni
dosa dan dapat pula memberikan hukuman sebab adanya dosa itu. Aku telah
mengampuni dosa hambaKu itu, maka hendaklah ia berbuat sekehendak hatinya."
(Muttafaq 'alaih)
Firman
Allah Ta'ala: Falyaf'al ma-sya'a yakni bolehlah ia mengerjakan sekehendak
hatinya itu maksudnya ialah selama melakukan yang sedemikian itu yakni melakukan
dosa lalu segera bertaubat, maka Aku - Allah - mengampuninya, sebab sesungguhnya
taubat itu dapat melenyapkan dosa-dosa yang sebelumnya.
421. Dari
Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi Zat yang
jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, andaikata engkau semua tidak ada
yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan melenyapkan engkau semua, lalu
mendatangkan suatu kaum lain yang melakukan dosa kemudian mereka meminta
pengampunan kepada Allah Ta'ala, lalu Allah mengampuni mereka itu." (Muttafaq
'alaih)
422. Dari
Abu Ayyub, iaitu Khalid bin Zaid r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Andaikata engkau semua tidak
ada yang melakukan dosa, nescayalah Allah akan menciptakan suatu makhluk baru
yang melakukan dosa, lalu mereka memohonkan pengampunan padaNya, kemudian Allah
mengampuni mereka itu." (Riwayat Imam Muslim)
423. Dari
Abu Hurairah r.a., katanya: "Kita semua pada suatu ketika duduk-duduk
bersama-sama Rasulullah s.a.w., juga menyertai kita Abu Bakar dan Umar
radhiallahu 'anhuma dalam suatu kelompok - antara tiga sampai sembilan orang.
Kemudian berdirilah Rasulullah s.a.w. meninggalkan kita semua, tetapi agak
lambat datangnya kembali. Kita semua takut kalau-kalau akan terputuskan dari
kita - maksudnya kalau memperolehi bahaya, maka dari itu kita semua menjadi
takut dan kita pun berdiri. Saya - yakni Abu Hurairah r.a. - adalah pertama-tama
orang yang merasa takut itu. Maka keluarlah saya untuk mencari Rasulullah
s.a.w., sehingga sampailah saya di suatu dinding milik orang Anshar - Abu
Hurairah lalu menceriterakan Hadis ini yang agak panjang, sehingga pada sabda
Nabi s.a.w., iaitu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Pergilah, maka setiap orang yang
engkau temui di balik dinding ini, asalkan ia menyaksikan bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dengan hatinya yang benar-benar meyakinkan sedemikian itu, maka
berilah khabar gembira bahawa ia akan masuk syurga." (Riwayat
Muslim)
424. Dari
Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma bahawasanya Nabi s.a.w.
membaca firman Allah Azzawajalla mengenai riwayat Nabi Ibrahim a.s., iaitu -
yang ertinya: "Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu menyesatkan
sebahagian besar manusia, maka barangsiapa yang mengikuti aku, maka sesungguhnya
ia adalah termasuk dalam golonganku," sampai akhirnya ayat. [44] Nabi Isa a.s. - juga diceriterakan dalam firman Allah yang
ertinya: "Jikalau Engkau - ya Tuhan - menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka
itu adalah hamba-hambaMu sendiri dan jikalau Engkau memberi pengampunan kepada
mereka, maka sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Bijaksana. [45] Beliau s.a.w. lalu mengangkat kedua tangannya dan berdoa:
"Ya Allah, ummatku, ummatku," dan terus menangis. Kemudian Allah Azza wa jalla
berfirman: "Hai Jibril, pergilah ke Muhammad - dan Tuhanmu sebenarnya adalah
lebih mengetahui sebabnya - lalu tanyakan-lah padanya, apa yang menyebabkan ia
menangis?" Nabi s.a.w. didatangi oleh Jibril lalu Rasulullah s.a.w.
memberitahukan apa yang telah diucapkannya, sedangkan Allah adalah lebih Maha
Mengetahui. Kemudian Allah Ta'ala berfirman: "Hai Jibril, pergilah ke Muhammad
dan katakanlah: "Sesungguhnya Kami akan memberikan keredhaan pada ummatmu dan
Kami tidak akan membuat keburukan padamu - yakni membuat engkau menjadi susah."
(Riwayat Muslim)
425. Dari
Mu'az bin Jabal r.a., katanya: "Saya ada di belakang Nabi s.a.w. ketika menaiki
seekor keledai, lalu beliau s.a.w. bertanya: "Hai Mu'az, adakah engkau tahu,
apakah haknya Allah atas sekalian hambaNya dan apakah haknya hamba-hamba itu
atas Allah?" Saya menjawab: "Allah dan RasulNya adalah lebih mengetahui." Beliau
lalu bersabda: "Sesungguhnya haknya Allah atas semua hamba-hambaNya ialah supaya
mereka itu menyembahNya dan tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah, sedang
haknya hamba-hamba atas Allah ialah Allah tidak akan menyiksa siapa saja yang
tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah itu." Saya lalu berkata: "Bukankah baik
sekali jikalau berita gembira ini saya beritahukan kepada seluruh manusia?"
Beliau s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau memberitakan ini kepada mereka sebab
mereka nantinya akan menyerah bulat-bulat - tanpa suka beramal." (Muttafaq
'alaih)
426. Dari
Albara' bin 'Azib radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w.,
sabdanya:
"Seorang
Muslim itu apabila ditanya dalam kubur, maka ia akan menyaksikan bahawasanya
tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa-sanya Muhammad adalah Rasulullah. Yang
sedemikian itu adalah sesuai dengan firmannya Allah Ta'ala - yang ertinya:
"Allah memberikan ketetapan kepada orang-orang yang beriman dengan ucapan yang
mantap, baik di dalam kehidupan dunia ini, mahupun dalam akhirat." (Muttafaq
'alaih)
427. Dari
Anas r.a. dari Rasulullah s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya orang kafir itu
apabila melakukan sesuatu amal kebaikan, maka dengannya itu ditujukan untuk
didapatkannya sesuatu makanan di dunia - yakni tujuannya semata untuk
memperolehi rezeki di dunia saja, sedangkan orang mu'min, maka sesungguhnya
Allah Ta'ala memberikan simpanan untuknya berupa beberapa kebajikan di akhirat
dan diikutkan pula dengan memperolehi rezeki di dunia dengan sebab
ketaatannya."
Dalam
riwayat lain disebutkan:
"Sesungguhnya Allah tidak
menganiaya seseorang mu'min akan kebaikannya, dengannya itu akan diberikan
rezeki di dunia dan dengannya pula akan diberi balasan baik di akhirat. Ada pun
orang kafir, maka ia akan diberi makan - yakni rezeki - dengan kebaikan-kebaikan
yang merupakan hasil amalannya kerana Allah Ta'ala di dunia, sehingga apabila ia
telah menjadi - yakni memasuki - ke akhirat, maka sama sekali tidak ada lagi
kebaikan baginya yang dapat diberikan balasannya." (Riwayat
Muslim)
428. Dari
Jabir r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perumpamaan shalat-shalat
lima waktu itu adalah seperti sungai yang mengalir secara melimpah-ruah pada
pintu rumah seseorang dari engkau semua. Ia mandi di situ setiap hari lima
kali." (Riwayat Muslim)
429. Dari
Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Tiada
seorang muslim pun yang meninggal dunia, kemudian berdiri untuk menyembahyangi
jenazahnya itu sebanyak empat puluh orang yang semuanya tidak menyekutukan
sesuatu dengan Allah, melainkan Allah akan mengurniakan syafaat kepada orang
yang mati tadi." (Riwayat Muslim)
430. Dari
Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Kita semua berada bersama-sama Rasulullah s.a.w.
dalam sebuah khemah, kira-kira ada empat puluh orang, lalu beliau s.a.w.
bersabda: "Relakah engkau semua jikalau engkau semua - ummat Muhammad semuanya
ini - menjadi seperempatnya ahli syurga?" Kita semua menjawab: "Ya." Beliau
s.a.w. bersabda pula: "Relakah engkau semua kalau menjadi sepertiga ahli
syurga." Kita semua menjawab: "Ya." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Demi Zat yang
jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, sesungguhnya saya
mengharapkan kalau engkau semua itu akan menjadi setengahnya ahli syurga. Yang
sedemikian itu kerana sesungguhnya syurga itu tidak dapat dimasuki melainkan
oleh seseorang yang Muslim, sedangkan engkau semua bukanlah ahli kemusyrikan,
melainkan seperti rambut putih dalam kulit lembu yang hitam atau seperti rambut
hitam dalam kulit lembu yang merah." (Muttafaq 'alaih)
431. Dari
Abu Musa al-Asy'ari r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w.
bersabda:
"Jikalau
telah tiba hari kiamat, maka Allah menyerahkan kepada setiap orang Islam akan
seorang Yahudi atau Nasrani, lalu Allah berfirman: "Inilah hari kelepasanmu dari
neraka."
Dalam
riwayat lain disebutkan dari Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w.,
sabdanya:
"Pada
hari kiamat datanglah beberapa orang dari kaum Muslimin dengan membawa dosa
sebesar gunung-gunung, lalu diampunkanlah oleh Allah untuk mereka itu." (Riwayat
Muslim)
Sabda
Nabi s.a.w.: "Allah menyerahkan kepada setiap orang Islam akan seorang Yahudi
atau Nasrani, lalu Allah berfirman: "Ini hari kelepasanmu dari neraka,"ertinya
itu dijelaskan oleh Hadis Abu Hurairah r.a. iaitu:
"Setiap
orang itu mempunyai sebuah tempat di syurga dan sebuah tempat lagi di neraka.
Orang mu'min itu apabila telah masuk syurga, maka akan diikuti oleh orang kafir
untuk masuk dalam neraka sebab sebenarnya orang kafir itu memang berhak sekali
untuk menempati tempat di neraka itu sebab kekafirannya." Adapun erti
fakakuka, ialah bahawasanya engkau itu sudah ditampakkan untuk masuk
neraka, tetapi hari inilah kelepasanmu dari neraka itu, sebab Allah Ta'ala telah
menentukan untuk neraka itu sejumlah isi yang akan menemuinya, maka jikalau kaum
kafirin telah memasuki neraka dengan sebab dosa-dosa serta kekafirannya, maka
berertilah bahawa peristiwa itu menjadi hari kelepasan kaum Muslimin dari siksa
neraka tadi.
Wallahu
a'lam.
432. Dari
Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w.,
bersabda:
"Di
dekatkanlah orang mu'min itu pada hari kiamat dari Tuhannya, [46] sehingga Allah meletakkan tutupNya atas orang mu'min tadi,
kemudian Allah menetapkan semua dosanya, tetapi Allah lalu berfirman: "Adakah
engkau mengerti tentang dosanya demikian? Tahukah engkau dosanya sedemikian
ini?" Orang itu menjawab: "Ya Tuhanku, saya tahu." Allah lalu berfirman:
"Sesungguhnya dosa-dosa itu telah Ku tutupi untukmu di dunia dan pada hari ini
Ku ampuni semuanya itu bagimu, kemudian diberikanlah catatan amalan
kebaikannya." (Muttafaq 'alaih)
Kanafuhu ertinya tutup serta
rahmatNya.
433. Dari
Ibnu Mas'ud r.a. bahawasanya ada seorang lelaki memberikan ciuman pada seseorang
wanita - bukan isterinya, lalu ia mendatangi Nabi s.a.w. kemudian memberitahukan
padanya akan halnya. Allah Ta'ala lalu menurunkan ayat - yang ertinya: "Dan
dirikanlah shalat pada kedua tepi siang hari dan sebahagian dari waktu malam.
Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu dapat melenyapkan keburukan-keburukan." Orang
itu lalu bertanya: "Apakah ayat itu untukku saja, ya Rasulullah?" Beliau s.a.w.
bersabda: "Untuk semua ummatku." (Muttafaq 'alaih)
434. Dari
Anas r.a., katanya: "Ada seorang datang kepada Nabi s.a.w., lalu berkata: "Ya
Rasulullah, saya telah melakukan sesuatu yang wajib dikenakan had - hukuman,
maka laksanakanlah itu untukku." Waktu itu sudah tiba saatnya shalat, lalu ia
bersembahyang bersama Rasuluilah s.a.w. Selanjutnya setelah selesai shalatnya,
orang itu berkata lagi: "Ya Rasulullah, saya telah melakukan perbuatan yang
wajib dikenakan had, maka laksanakanlah itu untukku sesuai dengan kitabullah."
Beliau s.a.w. bertanya: "Apakah engkau telah melakukan shalat bersama kita
tadi?" Ia menjawab: "Ya." Beliau s.a.w. bersabda: "Telah diampunkan dosa itu
untukmu." (Muttafaq 'alaih)
Ucapan
orang yang berbunyi Ashabtu haddan itu ertinya ialah bahawa orang tadi
telah melakukan suatu kemaksiatan yang mewajibkan ia dita'zir. Jadi bukan
maksudnya itu merupakan had syar'i yang sebenar-benarnya seperti hadnya orang
berzina, minum arak atau selainnya itu, sebab had-had semacam ini tidak dapat
gugur hanya dengan melakukan shalat saja, juga bagi seseorang imam pemegang
kekuasaan negara - tidak boleh meninggalkan atau
mengabaikannya.
435. Dari
Anas r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah itu
nescayalah redha pada seseorang hambaNya, jikalau ia makan sesuatu makanan lalu
memuji kepada Allah kerana adanya makanan itu, atau minum suatu minuman lalu
memuji padanya kerana adanya minuman itu." (Riwayat Muslim)
Al-aklatu dengan fathahnya hamzah,
ialah sekali makanan yang dilakukan seperti makan siang atau makan
malam.
Wallahu
a'lam.
436. Dari
Abu Musa r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah itu membeberkan
tanganNya - yakni kerahmatanNya - di waktu malam hari, supaya bertaubatlah orang
yang melakukan keburukan pada siang harinya, serta membeberkan tanganNya -
kerahmatanNya - di siang hari, supaya bertaubatlah orang yang melakukan
keburukan pada malam harinya. Hal in terus sampai matahari terbit dari arah
barat - maksudnya sampai dekat tibanya hari kiamat." (Riwayat
Muslim)
437. Dari
Abu Najih iaitu 'Amr bin 'Abasah - dengan menggunakan 'ain dan ba' - Assulami
r.a., katanya: "Dahulu semasih saya berada di zaman Jahiliyah mengira bahawa
para manusia itu dalam kesesatan dan bahawasanya mereka itu tidak memperolehi
kemanfaatan apa-apa dalam hal mereka menyembah berhala-berhala itu. Kemudian
saya mendengar ada seseorang lelaki di Makkah yang memberitahukan berbagai
berita luarbiasa dan agung, lalu saya duduk di atas kenderaanku untuk bepergian,
kemudian datanglah saya pada orang itu. Tiba-tiba di kala itu Rasulullah s.a.w.
sedang bersembunyi - dari kaum kafirin dan musyrikin. Keadaan kaumnya adalah
berani-berani padanya - maksudnya: bukannya serba ketakutan semacam menghadapi
raja. Kemudian saya beramah-tamah - dengan seorang Quraisy, sehingga saya
memasuki kota Makkah. Kepada orang itu - yakni Rasulullah s.a.w. - saya
bertanya: "Siapakah anda?" Jawabnya: "Saya seorang Nabi." Saya bertanya lagi:
"Apakah Nabi itu." Jawabnya: "Saya diutus oleh Allah." Saya bertanya lagi:
"Dengan membawa ajaran apakah anda diutus?" Jawabnya: "Allah mengutus saya
dengan ajaran supaya mempereratkan kekeluargaan, mematahkan semua berhala dan
supaya hanya Allah jualah yang dimaha esakan serta tidak disekutukanlah sesuatu
denganNya." Saya bertanya pula: "Siapakah yang sudah menjadi peserta anda?"
Jawabnya: "Seorang merdeka dan seorang lagi hamba sahaya." Pada saat itu yang
telah menjadi pengikutnya ialah Abu Bakar dan Bilal radhiallahu 'anhuma.
Kemudian saya berkata: "Saya ingin menjadi pengikut anda." Jawabnya:
"Sesungguhnya anda tidak kuat untuk menjadi pengikutku pada saat sekarang ini.
Tidak anda ketahuikah bagaimana hal-ehwalku dan hal-ehwal para manusia ini -
yakni bahawa beliau s.a.w. selalu dikejar-kejar untuk disakiti. Tetapi sekarang
kembalilah ke tempat keluarga anda. Nanti jikalau anda telah mendengar tentang
diriku bahawa aku telah muncul - memperolehi kemenangan, maka datanglah
padaku."
Abu Najih
berkata: "Saya lalu pergi menemui keluargaku lagi. Rasulullah s.a.w. datang di
Madinah - setelah agak lama dari terjadinya peristiwa di atas. Saya masih berada
di kalangan keluargaku, lalu mulailah saya mencari-cari beberapa berita dan saya
bertanya kepada orang banyak ketika datangnya di Madinah, sehingga datanglah
kepadanya itu sekelompok dari penduduk Madinah. Saya bertanya kepada orang
Madinah: "Apakah yang dilakukan oleh lelaki - yakni Nabi s.a.w. - yang datang di
Madinah itu?" Orang-orang menjawab: "Orang-orang sama bergegas-gegas
menyambutnya. Kaumnya sendiri sudah menginginkan akan membunuhnya, tetapi mereka
tidak dapat melakukan yang sedemikian itu."
Selanjutnya datanglah saya di
Madinah dan saya masuk menghadap padanya. Kemudian saya berkata: "Ya Rasulullah,
adakah anda mengenal saya?" Beliau menjawab: "Ya, engkau yang menemui saya
dahulu di Makkah?" Saya berkata lagi: "Ya Rasulullah beritahukanlah padaku
tentang apa-apa yang dipelajarkan oleh Allah pada anda dan yang saya tidak
mengetahuinya. Beritahukanlah kepadaku perihal shalat." Jawabnya: "Shalatlah
shalat Subuh, lalu berhentilah melakukan shalat sehingga matahari terbit sampai
berada di atas setinggi batang galah, sebab sesungguhnya matahari itu terbit di
antara kedua hujung tanduk syaitan dan di saat itu bersujudlah orang-orang kafir
pada matahari tadi. Kemudian bersembahyanglah - sesuka hatimu dari shalat-shalat
sunnah, sebab sesungguhnya shalat itu disaksikan dan dihadiri oleh para
malaikat. Demikian itu sehingga menyedikitlah bayangan galah tadi - jikalau
ditanam tegak. Selanjutnya berhentilah melakukan shalat, sebab di kala itu
sesungguhnya neraka Jahanam sedang menyala hebat-hebatnya. Jikalau bayangan
telah lalu - ke arah timur, maka bersembahyanglah - yakni Zuhur, sebab
sesungguhnya shalat itu disaksikan dan dihadiri oleh para malaikat, sehingga
anda bersembahyang 'Ashar, kemudian berhenti pulalah melakukan shalat itu,
sehingga matahari terbenam, sebab sesungguhnya matahari itu terbenam di antara
kedua ujung tanduk syaitan dan di kala itu bersujudlah orang-orang kafir kepada
matahari tadi."
Abu Najih
berkata selanjutnya: "Saya terus berkata lagi: "Ya Nabiullah, tentang wudhu'
beritahukanlah itu kepadaku!" Beliau s.a.w. bersabda: "Tiada seorang pun dari
engkau semua yang menyediakan air wudhu'nya, kemudian ia berkumur-kumur lalu
mengisap air dalam hidung lalu mengeluarkannya lagi dari hidungnya itu melainkan
jatuhlah semua kesalahan wajahnya, mulutnya dan pangkal hidungnya. Kemudian
apabila ia membasuh mukanya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka
jatuhlah kesalahan-kesalahan wajahnya dari hujung-hujung janggutnya beserta air,
kemudian membasuh kedua tangannya, maka jatuhlah kesalahan-kesalahan kedua
tangannya dari jari-jarinya beserta air, kemudian mengusap kepalanya, maka
jatuhlah kesalahan-kesalahan kepalanya dari hujung-hujung rambutnya beserta air,
kemudian membasuh kedua kakinya sampai kedua tumitnya, maka jatuhlah
kesalahan-kesalahan kakinya dari jari-jarinya beserta air. Seterusnya jikalau
orang itu berdiri lalu bersembahyang, bertahmid serta memuji dan memaha agungkan
Allah yang memang Allah itu belaka yang ahli - memiliki puji-pujian dan
keagungan - tadi, juga mengosongkan hatinya untuk semata-mata ditujukan kepada
Allah Ta'ala, maka setelah ia selesai semuanya, ia akan terlepas dari
kesalahan-kesalahannya sebagaimana keadaannya ketika pada hari dilahirkan oleh
ibunya - yakni bersih sama sekali dari segala macam kesalahan dan
dosa."
'Amr bin
'Abasah memberitahukan Hadis ini kepada Abu Umamah, yakni sahabat Rasulullah
s.a.w. lalu Abu Umamah berkata padanya: "Hai 'Amr, lihatlah apa yang engkau
katakan itu, seseorang dapat diberi pahala sebanyak itu hanya dalam satu tempat
saja, patutkah sedemikian itu." Abu Umamah bertanya demikian kerana agaknya
masih sangsi akan kebenaran Hadis yang dibawa oleh 'Amr tadi. 'Amr lalu
menjawab: "Hai Abu Umamah, usiaku ini sudah tua, tulang-tulangku pun sudah
lemah, bahkan ajalku juga sudah hampir sampai. Saya merasa tidak akan ada
gunanya untuk membuat kedustaan atas nama Allah atau atas diri Rasulullah s.a.w.
Andaikata saya tidak mendengar sendiri dari Rasulullah s.a.w., melainkan sekali,
atau dua kali, tiga kali - sampai dihitung-hitungnya sebanyak tujuh kali, pasti
saya tidak akan memberitahukan Hadis ini selama-lamanya. Tetapi saya mendengar
Hadis itu bahkan lebih banyak lagi dari sekian kali itu." (Riwayat
Muslim)
Jura-a-u 'alaihi qaumuhu
dengan jim
yang didhammahkan dan dimadkan menurut wazan 'ulama-u, yakni berani, tidak
takut-takut serta tidak ada keseganan. Ini adalah riwayat yang masyhur.
Alhumaidi dan lain-lain ahli Hadis meriwayatkan hira-un dengan kasrahnya
ha' muhmalah dan berkata: "Maknanya ialah pemarah, banyak menderita kesusahan
dan kesedihan, telah dialahkan kesabarannya sehingga membekaslah pada tubuh
mereka. Hiraun ini berasal dari kata-kata: hara jismuhu yahri,
maknanya jikalau telah susut kerana terkena penyakit, kesedihan atau
lain-lainnya. Yang shahih ialah dengan jim - yakni juraau.
Sabda
Nabi s.a.w. baina qarnai syaithan maksudnya dari kedua tepi kepala
syaitan. Murad sedemikian ini adalah sebagai perumpamaan yang maksudnya bahawa
syaitan itu pada ketika terbit atau terbenamnya matahari, selalu bergerak dengan
semua pembantu-pembantunya, juga sama memberikan pengaruh kekuasaan
buruk.
Sabda
beliau s.a.w.: yuqarribu wadhu-ahu maknanya ialah mendatangkan air yang
akan digunakan untuk berwudhu'. Kharrat khathayahu dengan menggunakan
kha' mu'jamah, ertinya jatuh. Sebahagian ulama meriwayatkan dengan kata:
jarat dengan jim, ertinya mengalir. Yang shahih ialah dengan kha' dan
inilah yang merupakan riwayat Jumhur. Yastantsiru ertinya mengeluarkan
kotoran-kotoran yang ada dalam hidungnya. Annatsrah ialah hujung
hidung.
438. Dari
Abu Musa al-Asy'ari r.a. dari Nabi s.a.w., katanya: "Jikalau Allah menghendaki
kerahmatan kepada sesuatu ummat, maka diambillah - dimanfaatkanlah - Nabi pun
dahulu sebelum ummat itu, lalu dijadikanlah Nabi tadi sebagai orang yang dahulu
- dalam menyiapkan kemaslahatan-kemaslahatan ummat itu serta yang terkemuka -
yakni merupakan penarik pahala yang akan dibalas dengan adanya kesabaran atas
kematiannya itu. Tapi jikalau Allah menghendaki kerosakan untuk sesuatu ummat,
maka disiksalah ummat itu selagi Nabi mereka masih hidup. Jadi Allah merosakkan
ummat itu dan Nabi mereka melihat keadaannya, maka Nabi tadi menetapkan sendiri
tentang penglihatan matanya bahawasanya ummatnya itu telah menjadi rosak binasa,
ketika mereka mendusta-kan serta bermaksiat padanya." (Riwayat
Muslim)
-
Ini
andaikata diperagakan menjadi suatu yang berbentuk sebagai benda, maka kerana
banyaknya kerahmatan itu, sehingga dapat memenuhi antara langit dan bumi kerana
amat besar dan agungnya.
-
Lengkapnya ayat di atas
ialah: "Dan barangsiapa yang tidak mengikuti aku, maka sesungguhnya Engkau
adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Surat Ibrahim
36.
-
Surah
al-Maidah, 118.
-
Didekatkan di sini
maksudnya ialah dalam hal dekat memperolehi kemuliaan, kerahmatan dan kebaikan
Allah. Jadi bukan dekat jarak atau perihal tempatnya, sebab Allah memang tidak
memerlukan tempat.
|
|
Post a Comment