|
Menjalankan
Hukum-hukum Terhadap Manusia Menurut Lahirnya,
Sedang Keadaan Hati Mereka Terserah Allah
Ta'ala
Allah
Ta'ala berfirman:
"Maka
jikalau orang-orang itu bertaubat dan mendirikan shalat serta menunaikan zakat,
maka bebaskanlah jalannya - yakni merdekakanlah menurut kemahuan
hatinya." (at-Taubah: 5)
389. Dari Ibnu Umar
radhiallahu 'anhuma bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Saya diperintah
untuk memerangi semua manusia, sehingga mereka suka menyaksikan bahawa tiada
Tuhan kecuali Allah dan bahawasanya Muhammad adalah pesuruh Allah dan mendirikan
shalat serta menunaikan zakat. Maka jikalau mereka telah melakukan yang
sedemikian itu, terpeliharalah daripadaku darah serta harta benda mereka,
melainkan dengan haknya Islam, sedang hisab - perhitungan amal - mereka adalah
terserah kepada Allah Ta'ala. (Muttafaq 'alaih)
390. Dari Abu
Abdillah iaitu Thariq bin as-Syam r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang
mengucapkan La ilaha illallah dan kafir mengingkari - dengan sesuatu yang
disembah selain daripada Allah, maka haramlah harta benda serta darahnya, sedang
hisabnya adalah terserah kepada Allah." (Riwayat Muslim)
391. Dari Abu Ma'bad
iaitu al-Miqdad bin al-Aswad r.a., katanya: "Saya berkata kepada Rasulullah
s.a.w.: "Bagaimanakah pendapat Tuan, jikalau saya bertemu seseorang dari
golongan kaum kafir, kemudian kita berperang, lalu ia memukul salah satu dari
kedua tanganku dengan pedang dan terus memutuskannya. Selanjutnya ia bersembunyi
daripadaku di balik sebuah pohon, lalu ia mengucapkan: "Saya masuk Agama Islam
kerana Allah," apakah orang yang sedemikian itu boleh saya bunuh, ya Rasulullah
sesudah ia mengucapkan kata-kata seperti tadi itu?" Beliau s.a.w. menjawab:
"Jangan engkau membunuhnya." Saya berkata lagi: "Ia sudah memutuskan salah satu
tangan saya, kemudian mengucapkan sebagaimana di atas itu setelah
memutuskannya." Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Jangan engkau
membunuhnya, kerana jikalau engkau membunuhnya, maka ia adalah
menempati tempatmu sebelum engkau membunuhnya dan sesungguhnya engkau adalah
di tempatnya sebelum ia mengucapkan kata-kata yang diucapkannya
itu." (Muttafaq 'alaih)
Maknanya innahu
bimanzilatika: sesungguhnya ia di tempatmu ialah bahawa orang
itu harus dipelihara darahnya sebab telah dihukumi sebagai orang
Islam. Adapun maknanya innaka biman zilatihi: sesungguhnya engkau
di tempatnya ialah bahawa halal darahnya dengan qishash untuk para
ahli warisnya, bukan kerana ia dalam kedudukannya sebagai orang
kafir. Wallahu a'lam.'
392. Dari Usamah bin
Zaid radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. mengirim kita ke daerah
Huraqah dari suku Juhainah, kemudian kita berpagi-pagi menduduki tempat air
mereka. Saya dan seorang lagi dari kaum Anshar bertemu dengan seseorang lelaki
dari golongan mereka - musuh. Setelah kita dekat padanya, ia lalu mengucapkan:
La ilaha illallah. Orang dari sahabat Anshar itu menahan diri daripadanya -
tidak menyakiti sama sekali, sedang saya lalu menusuknya dengan tombakku
sehingga saya membunuhnya.
Setelah kita datang -
di Madinah, peristiwa itu sampai kepada Nabi s.a.w., kemudian beliau bertanya
padaku: "Hai Usamah, adakah engkau membunuhnya setelah ia mengucapkan La ilaha
illallah?" Saya berkata: "Ya Rasulullah, sebenarnya orang itu hanya untuk
mencari perlindungan diri saja - yakni mengatakan syahadat itu hanya untuk
mencari selamat, sedang hatinya tidak meyakinkan itu." Beliau s.a.w. bersabda
lagi: "Adakah ia engkau bunuh setelah mengucapkan La ilaha illallah?" Ucapan itu
sentiasa diulang-ulangi oleh Nabi s.a.w., sehingga saya mengharap-harapkan,
bahawa saya belum menjadi Islam sebelum hari itu - yakni bahawa saya
mengharapkan menjadi orang Islam itu mulai hari itu saja, supaya tidak ada dosa
dalam diriku." (Muttafaq 'alaih)
Dalam riwayat lain
disebutkan: Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bukankah ia telah mengucapkan La
ilaha illallah, mengapa engkau membunuhnya?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah,
hanyasanya ia mengucapkan itu semata-mata kerana takut senjata." Beliau s.a.w.
bersabda: "Mengapa engkau tidak belah saja hatinya, sehingga engkau dapat
mengetahui, apakah mengucapkan itu kerana takut senjata atau kah tidak - yakni
dengan keikhlasan." Beliau s.a.w. mengulang-ulangi ucapannya itu sehingga saya
mengharap-harapkan bahawa saya masuk Islam mulai hari itu saja.
393. Dari Jundub bin
Abdullah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengirimkan sepasukan dari kaum
Muslimin kepada suatu golongan dari kaum musyrikin dan bahawa mereka itu telah
bertemu - berhadap-hadapan. Kemudian ada seseorang lelaki dari
kaum musyrikin jikalau menghendaki menuju kepada seorang dari kaum
Muslimin lalu ditujulah
tempatnya lalu dibunuhnya.
Lalu ada seorang dari kaum Muslimin menuju orang itu di
waktu lengahnya. Kita semua memperbincangkan bahawa orang itu adalah Usamah bin
Zaid. Setelah orang Islam itu mengangkat pedangnya, tiba-tiba orang musyrik tadi
mengucapkan: "La ilaha illallah." Tetapi ia terus dibunuh olehnya. Selanjutnya
datanglah seorang pembawa berita gembira kepada Rasulullah s.a.w. -
memberitahukan kemenangan, beliau s.a.w. bertanya kepadanya - perihal jalannya
peperangan - dan orang itu memberitahukannya, sehingga akhirnya orang itu
memberitahukan pula perihal orang yang membunuh di atas, apa-apa yang dilakukan
olehnya. Orang itu dipanggil oleh beliau s.a.w. dan menanyakan padanya, lalu
sabdanya: "Mengapa engkau membunuh orang itu?" Orang tadi menjawab: "Ya
Rasulullah, orang itu telah banyak menyakiti di kalangan kaum Muslimin dan telah
membunuh si Fulan dan si Fulan." Orang itu menyebutkan nama beberapa orang yang
dibunuhnya. Ia melanjutkan: "Saya menyerangnya, tetapi setelah melihat pedang,
ia mengucapkan: "La ilaha illallah." Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah ia
sampai kau bunuh?" Ia menjawab: "Ya." Kemudian beliau bersabda: "Bagaimana yang
hendak kau perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada hari
kiamat?" Orang itu berkata: "Ya Rasulullah, mohonkanlah pengampunan - kepada
Allah - untukku." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana yang hendak kau perbuat
dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada hari kiamat?" Beliau s.a.w.
tidak menambahkan sabdanya lebih dari kata-kata: "Bagaimanakah yang hendak kau
perbuat dengan La ilaha illallah, jikalau ia telah tiba pada hari kiamat?"
(Riwayat Muslim)
394. Dari Abdullah
bin Utbah bin Mas'ud, katanya: "Saya mendengar Umar bin Alkhaththab r.a.
bersabda: "Sesungguhnya sekalian manusia itu dahulu diterapi dengan hukum sesuai
dengan adanya wahyu yakni di zaman Rasulullah s.a.w., dan sesungguhnya wahyu itu
kini telah terputus - tidak datang lagi, sebab Nabi s.a.w. telah wafat. Maka
hanyasanya kami - Umar r.a. - menuntut engkau semua dengan dasar apa yang nampak
pada kami iaitu mengenai perbuatan-perbuatan yang engkau semua lakukan. Jadi
barangsiapa yang menampakkan perbuatan baik pada kami, maka kami berikan
keamanan dan kami dekatkan kedudukannya pada kami, sedang urusan apa yang dalam
hatinya tidak sedikitpun kami persoalkan, kerana Allah akan menghisabnya dalam
hal isi hatinya itu. Tetapi barangsiapa yang menampakkan kelakuan buruk pada
kami, maka kami tidak akan memberikan keamanan padanya dan tidak akan percaya
ucapannya, sekalipun ia mengatakan bahawasanya niat hatinya adalah baik."
(Riwayat Bukhari)
-
Keterangannya harap diperiksa
dalam Hadis no. 232.
Muka depan |
|
Post a Comment