| 
 
Sunnahnya Makan 
Dengan Menggunakan Tiga Jari Dan Sunnahnya Menjilati Jari-jari Serta Kemakruhan 
Mengusap Jari-jari Sebelum Menjilatinya, Juga Sunnahnya Menjilati Piring Dan 
Mengambil Suapan Yang Jatuh Daripadanya Terus Memakannya, Juga Bolehnya Mengusap 
Jari-jari Sesudah Dijilati Pada Tangan, Kaki Dan Lain-lain 
Sebagainya 
 
745. Dari Ibnu Abbas 
radhiallahu 
'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. 
bersabda; 
 
"Jikalau seseorang 
dari engkau semua makan sesuatu makanan, maka janganlah mengusap jari-jarinya 
sebelum menjilatnya - untuk mendapatkan keberkahan - atau menjilatkannya - 
kepada orang lain seperti kepada anaknya, muridnya dan lain-lain." (Muttafaq 
'alaih) 
 
746. Dari Ka'ab bin 
Malik r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan dengan menggunakan 
tiga jari. Kemudian setelah beliau selesai lalu menjilatinya." (Riwayat 
Muslim) 
 
747. Dari Jabir r.a. 
bahawasanya Rasulullah 
s.a.w. menyuruh untuk menjilati jari-jari dan piring dan beliau bersabda: 
"Sesungguhnya engkau semua tidak mengetahui di makanan yang manakah terletaknya 
keberkahan itu." (Riwayat Muslim) 
 
748. Dari jabir r.a. 
pula bahawasanya Rasulullah s.a.w, 
bersabda: "Jikalau suapan seseorang di antara engkau semua itu jatuh, maka 
singkirkanlah kotoran-kotoran yang menempel di situ dan kemudian hendaklah 
memakannya serta janganlah ditinggalkan untuk dimakan oleh syaitan. Jangan pula 
seseorang itu mengusap tangannya dengan saputangan sehingga ia menjilati 
jari-jarinya, sebab sesungguhnya ia tidak dapat mengetahui di makanan yang 
manakah terletaknya keberkahan itu." (Riwayat Muslim) 
 
749. Dari Jabir r.a. 
pula, bahawasanya Rasulullah s.a.w. 
bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu mendatangi seseorang dari engkau semua dalam 
segala hal yang dilakukannya, sampai pun ia datang pula ketika ia 
makan. Maka jikalau suapan seseorang di antara engkau semua itu jatuh, maka 
hendaklah diambilnya lalu menyingkirkan kotoran yang menempel padanya dan 
selanjutnya hendaklah memakannya dan janganlah ditinggalkan untuk dimakan oleh 
syaitan. Kemudian apabila ia telah selesai, maka hendaklah menjilat 
jari-jarinya, kerana sesungguhnya ia tidak 
mengetahui di makanan yang manakah terletaknya keberkahan itu." (Riwayat 
Muslim) 
 
750. Dari Anas r.a., 
katanya: "Rasulullah s.a.w. itu apabila makan sesuatu makanan, maka beliau 
menjilati jari-jarinya yang tiga buah - yang digunakan untuk makan yakni ibu 
jari, telunjuk dan tengah - dan beliau s.a.w. bersabda: "Jikalau suapan 
seseorang dari engkau semua itu jatuh, maka singkirkanlah kotoran-kotoran yang 
menempel di situ, selanjutnya hendaklah memakannya dan janganlah ditinggalkan 
untuk dimakan oleh syaitan."] 
 
Beliau s.a.w. juga 
menyuruh kepada kita supaya kita mengusap piring - lalu memakan sekali jikalau 
ada makanan yang ada di situ -dan beliau s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya engkau 
semua tidak mengetahui di makanan yang manakah terletaknya keberkahan itu." 
(Riwayat Muslim) 
 
751. Dari Said bin 
al-Harits bahawasanya ia bertanya kepada Jabir 
tentang hal apakah wajib berwudhu' kerana makan sesuatu yang terkena 
oleh api - yakni yang dimasak dengan api - lalu ia menjawab: "Tidak, 
sungguh-sungguh kita dahulu iaitu di zaman Nabi s.a.w. tidak 
mendapatkan makanan yang dimasak dengan api itu kecuali sedikit 
sekali. 
Jikalau 
kita menemukan makanan itu, kita tidak mempunyai saputangan-saputangan - untuk 
mengusap selesai memakannya - melainkan yang ada ialah tapak-tapak tangan kita, 
lengan-lengan kita serta kaki-kaki kita - maksudnya tapak tangan, lengan dan 
kaki itulah yang digunakan untuk mengusap jari-jari setelah selesai makan, 
seterusnya kita 
pun lalu 
bersembahyang dan kita tidak berwudhu' lagi." (Riwayat Bukhari) 
 
 
 Muka depan
 | 
Post a Comment