Kesopanan-kesopanan
Minum Dan Sunnahnya Bernafas Tiga Kali Di Luar Wadah Serta Kemakruhan Bernafas
Di Dalam Wadah Dan Sunnahnya Memutarkan Wadah Pada Orang Yang Sebelah Kanan Lalu
Yang Sebelah Kanan Lagi Sesudah Orang Yang Memulai Minum Itu
754.
Dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. itu
bernafas ketika minum sebanyak tiga kali."
Muttafaq 'alaih.
Yakni bernafas di luar wadah.
755. Dari Ibnu Abbas
radhiallahu 'anhuma, katanya:
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Janganlah engkau
semua minum sekaligus seperti minumnya unta, tetapi minumlah dua kali atau tiga
kali. Bacalah Bismillah jikalau engkau semua memulai minum dan bacalah
Alhamdulillah jikalau engkau semua angkat - yakni selesai minum."
Diriwayatkan oleh
Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis
hasan.
756. Dari Abu Qatadah
r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melarang
jikalau ditarik nafas dalam wadah."
Muttafaq 'alaih.
Yakni ditariknya nafas dalam wadah tempat seseorang itu minum.
757. Dari Anas r.a.
bahawasanya Rasulullah
s.a.w. diberi susu yang telah dicampur dengan air. Di sebelah kanannya ada
seorang A'rab - penghuni pedalaman negeri Arab - dan di sebelah kirinya ialah
Abu Bakar r.a. Beliau s.a.w. lalu minum, kemudian memberikan - wadah isi susu
itu - kepada orang A'rab dan beliau s.a.w. bersabda: "Dahulukanlah yang kanan
dulu lalu yang sebelah kanannya." (Muttafaq 'a(aih)
758. Dari Sahl bin
Sa'ad r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. diberi
minuman lalu beliau meminumnya dan di sebelah kanannya ada anak kecil sedang di
sebelah kirinya ada beberapa orang tua. Beliau s.a.w. lalu berkata kepada anak -
yang di sebelah kanannya: "Adakah engkau izinkan jikalau saya memberikan kepada
orang-orang tua ini?" Anak itu berkata: "Tidak, demi Allah, saya tidak
mahu mengalahkan diri
sendiri kepada seseorang pun dari bahagianku daripada Tuan itu."
Kemudian Rasulullah s.a.w. meletakkannya di tangan anak tersebut. (Muttafaq
'alaih)
Ucapannya: tallahu
ertinya meletakkannya.
Ada pun anak kecil itu
ialah Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma - sewaktu masih kecilnya.
Muka depan |
Post a Comment