RISALAH TA’LIM
RISALAH TA’LIM
WAHAI IKHWAN
YANG BENAR DALAM FIKRAHNYA...Rukun Bai'ah adalah sepuluh rukun maka hendaklah
kamu memeliharanya: Faham, Ikhlas, Amal,
Jihad, Tadhiyyah, Taat, Thabat, Tajarrud, Ukhuwwah dan Thiqah.Wahai akh
yang benar dalam dakwahnya:
FAHAM Maksudku dengan rukun faham
adalah: Hendaklah kamu yakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islam yang tulen
dan hendaklah difahamkannya kepada orang ramai seperti mana yang kita fahami
dalam lingkungan dua puluh usul yang amat ringkas.1. Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang
mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan negara ataupun kerajaan
dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun kasih sayang dan keadilan. Ia
adalah peradaban dan undang-undang ataupun keilmuan dan hukum-hukum. Ia juga
adalah material dan harta benda ataupun kerja dan kekayaan, ia adalah jihad dan
dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Begitu juga ia adalah akidah yang benar
dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.2. Al-Quran
yang mulia dan sunnah yang suci adalah rujukan kepada setiap muslim dalam
mengetahui hukum-hukum Islam. Al-Quran difahami dengan mengikut kaedah bahasa
arab dengan tidak mengikut sikap memberatkan dan menyempitkan. Kefahaman kepada
sunnah yang suci adalah dengan mengembalikannya kepada rijal-rijal hadis yang
thiqah.3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mempunyai cahaya dan
kemanisan yang diberikan oleh Allah kepada hati-hati hamba yang dikehendakiNya.
Manakala ilham, lintasan hati, tilikan dan tenungan adalah bukan dari dalil
hukum syariah yang tidak diberikan iktibar kecuali jika tidak bertembung dengan
hukum dan nas agama.4. Dan setiap tangkal, pelindung, azimat, tilikan, jampi
serapah dan pengakuan mengetahui perkara ghaib adalah termasuk dalam perkara
mungkar yang wajib diperangi kecualilah jika ianya adalah daripada ayat
al-Quran dan tangkal yang sandarannya.5. Pandangan Imam dan naibnya pada
masalah yang tidak ada nas putus padanya dan pada perkara yang mempunyai arah
pandangan yang berbagai hendaklah dipakai selagi mana ia tidak bertentangan
dengan kaedah syarak. Pandangan ini kadangkalanya berubah dengan perubahan
situasi, uruf dan adat. Asal dalam perkara ibadat adalah mengabdikan diri tanpa
berpaling kepada makna-maknanya sedangkan asal dalam perkara adat, dilihat
kepada rahsia-rahsia, hikmat dan tujuannya.6. Setiap orang boleh dipakai
ataupun ditolak kata-katanya melainkan kata-kata yang keluar dari orang yang
dilindungi dari dosa, Rasulullah s.a.w. Setiap perkara yang datang dari para
salafussoleh r.a yang bertepatan dengan kitab Allah dan sunah, kita hendaklah
menerimanya. Kalau tidak bertepatan dengan nas, maka nas al-Quran dan sunah
Rasulullah s.a.w adalah yang lebih utama untuk diikuti. Tetapi kita tidak sekali-kali
mengutuk dan memburukkan seseorang dari mereka walaupun apa yang telah
diselisihkan mengenainya. Kita serahkan semuanya kepada niat masing-masing
kerana mereka telah bergantung kepada apa yang telah mereka kerjakan.7. Setiap
muslim yang tidak sampai kepada martabat ijtihad dalam mencari dalil hukum
Islam yang furuk hendaklah mengikut kepada pegangan salah seorang dari
Imam-imam mazhab Islam. Menjadi elok lagi kepadanya ketika mengikut mazhab itu
jika ditambah dengan usaha yang sedaya upaya untuk mengetahui dalil-dalilnya. Dia
hendaklah menerima segala petunjuk yang diserta dengan dalil, ketika diyakini
kesahihan dan kebolehan orang yang memberikan petunjuk itu kepadanya. Dia juga
hendaklah menyempurnakan kekurangan ilmu yang ada pada dirinya sekiranya dia di
kalangan ahli ilmu sehinggalah dia sampai kepada peringkat Al-Nazar (ijtihad
hukum).8. Perselisihan faham dalam perkara furuk fekah tidak boleh menjadi
sebab kepada berlakunya perpecahan di dalam agama, juga janganlah ianya membawa
kepada perbalahan, kemarahan antara satu sama lain. Setiap mujtahid ada
pahalanya. Tidak ada halangan jika dilakukan pengkajian ilmiah yang adil dalam
masalah yang diperselisihkan ini yang dilakukan dalam naungan perasaan kasih
mengasihi kerana Allah, bantu membantu untuk sampai kepada hakikat yang
sebenarnya, dengan tidak membawa kepada perbahasan yang dikeji dan perasaan
taasub.9. Melarutkan diri ke dalam masalah yang tidak membawa kepada amal
adalah antara takalluf (memberatkan) yang dilarang oleh syarak. Di antara
masalah seperti itu adalah seperti banyaknya cabang dalam hukum-hukum yang
tidak mungkin berlaku, larut dalam membahaskan makna ayat al-Quran yang masih
tidak diketahui oleh akal pengetahuan dan perbincangan untuk melebihkan antara
sahabat-sahabat r.a dan pertentangan yang berlaku antara mereka. Setiap dari
sahabat ada kelebihan bersahabat dengan Rasulullah s.a.w dan kesemuanya dibalas
bergantung kepada niatnya. Membincangkan perkara ini boleh membawa kepada
perselisihan yang buruk akibatnya.10. Makrifat Allah Taala, tauhid kepadaNya,
membersihkanNya adalah akidah Islam yang paling mulia. Kita beriman dengan ayat
dan hadis sahih yang menceritakan sifat Allah dan apa perumpamaan yang layak
denganNya, kita beriman dengannya seperti mana datangnya ayat itu tanpa takwil
dan mencuaikan. Kita juga tidak mencampurkan diri kita kepada perkara yang
diperselisihkan oleh ulamak mengenai perkara ini. Kita hanya mengikut apa yang
diredhai oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Firman Allah yang
bermaksud: "Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya
dalam ilmu-ilmu ugama berkata: "Kami beriman kepadanya, semuanya itu
datangnya dari sisi Tuhan Kami" (Al-Imran).11. Setiap perkara bid'aah
dalam din Allah yang tidak ada asalnya walaupun diperelokkan oleh manusia
dengan nafsu mereka dengan menambahkan ataupun mengurangkannya, adalah perkara
kesesatan yang wajib diperangi dan dihapuskan dengan cara yang terbaik yang
tidak membawa kepada merebaknya perkara yang lebih buruk dari itu.12. Perkara
bid'aah tambahan dan kurangan serta iltizam dengan ibadat yang mutlak adalah
antara masalah fekah yang masih diperselisihkan. Setiap ulamak mempunyai
pandangan yang tersendiri. Tidak menjadi halangan jika kita mencari kebenaran
dengan dalil dan bukti.13. Mencintai, menghormati dan memuji orang-orang yang
soleh kerana amalan kebaikan mereka adalah satu pendekatan diri kepada Allah
Taala. Wali-wali Allah inilah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai orang yang
beriman dan mereka bertaqwa kepadaNya. Perkara keramat berlaku kepada mereka
dengan syarat yang syar'ie dengan menganggap bahawa mereka telah diredhai oleh
Allah dan mereka tidak mempunyai kuasa memudaratkan atau memberikan manfaat
diri mereka sendiri di kala hidup atau mati mereka tambahan pula memberikan
perkara seperti itu kepada orang lain.14. Menziarahi mana-mana kubur adalah
perkara yang disyariatkan tetapi dengan caranya yang muktabar. Namun begitu,
meminta pertolongan, memanggil orang mati (walaupun siapa dia), meminta
tunaikan hajatnya dengannya secara dekat ataupun jauh, bernazar kepada mereka,
menghiaskan dan menerangkan kubur mereka, menyapunya, bersumpah dengannya
selain dari Allah dan sebagainya dari perkara yang bid'aah, kesemuanya itu
adalah perkara yang bid'aah yang merupakan dosa besar yang wajib diperangi. Janganlah
kita mentakwilkan perkara-perkara ini kerana kita hendaklah menyekat daripada
berlakunya perkara-perkara tersebut (Saddu al-Zaraik).15. Doa kepada Allah yang
disertai dengan tawasul dengan orang lain adalah masalah khilaf furuk dalam masalah
cara berdoa dan ia bukannya dari masalah akidah.16. Uruf yang salah tidak akan
menukarkan hakikat lafaz syariat bahkan kita wajib memastikannya dari hudud
makna yang dimaksudkannya dan berhenti di situ. Begitu juga wajib kita bebaskan
diri kita dari tertipu dengan kata-kata dalam setiap aspek kehidupan dan juga
agama. Pengajaran diambil daripada apa yang dinamakan dan bukannya dan nama itu
sendiri.17. Akidah adalah asas kepada amalan dan amalan hati adalah lebih utama
dari amalan anggota lain. Mencari kesempurnaan dalam amalan keduanya adalah
dianjurkan oleh syarak walaupun terdapat perbezaan darjah anjuran ini.l8. Islam
telah membebaskan akal dan memberi galakkan supaya memerhatikan bumi ini. Islam
juga telah mengangkat taraf ilmu dan ulamak dan mengalu-alukan apa yang baik
dan berfaedah dalam setiap perkara. `Hikmat itu adalah perkara yang hilang dari
mukminin dan sekiranya dia menjumpainya, dialah yang paling berhak
dengannya.'19. Kadang-kala setiap pandangan syarak dan pandangan akal
menyelusup ke dalam perkara yang tidak ada pada pandangan yang kedua tetapi
keduanya ini tidak akan berselisih dalam perkara yang pasti (qat'ie). Hakikat
ilmiah yang sahih tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Perkara
yang dzan (diragui) darinya akan ditakwilkan agar bertepatan dengan perkara
yang qat'ie. Jika keduanya adalah perkara yang `dzan', maka pandangan syarak
adalah lebih utama untuk dipakai dan pandangan akal ketika itu hanyalah untuk
memastikannya sahaja ataupun dihapuskan terus.20. Kita tidak akan mengkufurkan
orang muslim yang mengikrarkan dua kalimah syahadah, beramal dengan tuntutannya
dan mengerjakan fardhu-fardhunya, semata kerana pandangan ataupun maksiat yang
dilakukan kecualilah jika dia mengakui dengan perkataan kufur, mengingkar perkara
yang maklum dari asas yang darurat dalam agama, ataupun mendustakan al-Quran
yang jelas, atau mentafsirkannya dengan tafsiran yang ditafsirkan sebagai kufur
oleh gaya bahasa arab, ataupun beramal dengan amalan yang tidak boleh ditakwil
lagi selain dari kufur.Jika seorang akh itu mengetahui dinnya dengan usul-usul
ini, ketika itu dia telah mengetahui apakah makna yang dimaksudkan oleh slogan
abadinya iaitu `Al-Quran Perlembagaan Kami dan Rasul Ikutan Kami'.
IKHLAS Maksudku
dengan ikhlas: Bahawa seorang saudara muslim itu menujukan segala perkataan,
amalan dan jihadnya keseluruhannya kepada Allah, mencari keredhaan dan kebaikan
balasanNya, dengan tidak melihat keuntungan, gaya, pangkat, gelaran, kemajuan
ataupun kemunduran. Dengan itu dia menjadi seorang tentera kepada fikrah dan
akidah dan bukannya tentera satu tujuan atau manfaat yang tertentu. Allah telah
berfirman yang bermaksud: "Katakanlah bahawa sembahyangku, ibadatku,
kehidupanku dan kematianku hanyalah kepada Allah tuhan sekelian alam dan dengan
itulah aku diperintah" (Surah al-An'aam). Dengan itu juga seorang akh
muslim itu dapat memahami makna slogan abadinya iaitu: "Allah Matlamat
Kami". Allahuakbar, kepada Allah segala pujian.
AMAL Maksudku dengan
amal: Natijah dari ilmu dan ikhlas. Firman Allah yang bermaksud: "Dan
katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya
serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan. Dan kamu
akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan
yang nyata, maka Dia akan memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah
kerjakan" (Surah al-Taubah). Peringkat amal yang diperlukan dari seorang
akh yang benar keimanannya itu adalah: 1. Memperbaiki dirinya sendiri sehingga
menjadi seorang yang kuat fizikal, berakhlak mulia, berpengetahuan tinggi,
berupaya untuk berdikari, selamat akidah, ibadat yang sahih, berjihad dengan
dirinya sendiri, menjaga masanya, teratur dalam segala urusannya dan bermanfaat
kepada selain darinya. Itulah kewajipan setiap orang akh. 2. Membentuk
rumah tangga muslim dengan membawa ahli rumahnya menghormati fikrahnya,
memelihara adab-adab Islam dalam setiap urusan kehidupan, tepat dalam memilih
isteri, mengikat isterinya pada hak-hak dan kewajipannya, elok tarbiyah
anak-anak dan pembantu dan membesarkan mereka menurut dasar-dasar Islam. Itulah
juga kewajipan setiap orang akh. 3. Memberi petunjuk kepada masyarakat dengan
menyebarkan dakwah kebaikan, memerangi perkara keji dan mungkar, menggalakkan
sifat yang mulia, menyeru kepada kebaikan, bersegera ke arah kebaikan, membawa
pandangan umum kepada fikrah Islam dan mencelup kehidupan umum dengan celupan
dakwah Islam. Itu adalah kewajipan jemaah sebagai pertubuhan yang beramal. 4.
Membebaskan negara dari penjajahan kuasa asing bukan Islam sama ada penjajahan
itu berbentuk politik, ekonomi ataupun rohani. 5. Memperbaiki kerajaan sehingga
menjadi kerajaan Islam yang sebenarnya. Dengan itu ia dapat menunaikan tugasnya
sebagai pembantu kepada umat, buruh dan pekerja untuk kepentingannya. Kerajaan Islam adalah kerajaan di mana
anggotanya adalah muslimin yang menunaikan fardhu-fardhu Islam dan tidak
melakukan maksiat dan ia menjalankan semua hukum dan ajaran Islam. Tidak
menjadi masalah jika kerajaan ini meminta bantuan dengan orang yang bukan Islam
ketika darurat tetapi bukan dalam jawatan pemerintahan umum. Tidak menjadi
masalah mengenai bentuk ataupun jenis pertolongan yang diminta selagi mana ia
adalah bertepatan dengan kaedah umum dalam dasar pemerintahan Islam. Di antara
sifat kerajaan Islam adalah: Merasakan tanggung jawab yang diletakkan
kepadanya, kasihan belas kepada rakyat, berlaku adil di kalangan manusia,
cermat dalam perbelanjaan wang umum dan berekonomi padanya. Antara kewajipannya
adalah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, menyebarkan ajaran Islam,
melengkapkan kekuatan, menjaga kesihatan, menjaga kepentingan umum, menyuburkan
harta benda dan menjaga wang negara, menguatkan akhlak yang mulia dan
menyebarkan dakwah Islamiyyah, Antara haknya pula ketika ia telah menjalankan
kewajipannya itu adalah: Diberikan ketundukan dan kepatuhan, dibantu dengan
diri dan harta. Jika kerajaan ini tidak menjalankan kewajipannya dengan
sempurna maka ia mesti diberikan nasihat dan petunjuk, kemudiannya dipecat dan
dijauhkan jika ia tidak mengikut nasihat kerana tidak ada ketaatan kepada
makhluk dalam perkara maksiat kepada yang menciptanya. 6. Mengembalikan
kehebatan antarabangsa kepada umat Islam dengan membebaskan negara-negara Islam
yang dijajah, menghidupkan keagungannya, memperdekatkan peradabannya, menghimpunkan
kesatuannya sehingga membawa kepada kembalinya Khilafah Islamiyyah yang telah
hilang, dan mengembalikan kesatuan yang diharap-harapkan. 7. Membentuk kuasa
besar dunia dengan menyebarkan dakwah Islam kepada setiap pelusuknya sehingga
tidak ada lagi di sana fitnah dan agama itu hanyalah untuk Allah. Allah Taala
enggan kecuali untuk disempurnakan NurNya (Maksud firman Allah). Keempat-empat
peringkat yang terakhir ini adalah wajib kepada jemaah yang bersatu dan juga
kepada setiap akh dengan sifatnya sebagai anggota dalam jemaah ini. Alangkah
beratnya tanggung jawab dan alangkah besarnya misi ini. Manusia lain akan
memandangnya sebagai khayalan sementara akh muslim memandangnya sebagai hakikat
yang ingin dicapai dan dia tidak akan berputus asa. Bagi kita, Allah adalah
harapan utama kepada kita seperti mana yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam
surah Yusuf: "Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah
ditetapkanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
JIHAD Maksudku dengan
jihad adalah: Ia adalah satu fardhu yang berkuatkuasa sehingga hari kiamat. Begitu
juga maksud dari sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mati
dan tidak berperang dan tidak berniat hatinya untuk berperang maka dia mati
dalam keadaan mati jahiliyyah." Peringkat pertamanya adalah mengingkari
dari hati, peringkat tertingginya adalah berjihad di jalan Allah. Antara
keduanya: Jihad lidah, pena, tangan dan perkataan yang benar kepada pemerintah
yang zalim. Dakwah ini tidak akan hidup kecuali dengan jihad. Setanding dengan
ketinggian dan keluasan ufuk dakwah ini, begitu jugalah besarnya kelebihan
jihad di jalan dakwah, mahalnya harga yang dipinta untuk mendokongnya, besarnya
balasan yang akan diberikan kepada orang-orang yang beramal. "Berjihadlah
di jalan Allah dengan sebenar-benar jihad." Dengan itu kamu akan memahami
apakah yang dimaksudkan dengan slogan abadi kamu: `Jihad Adalah Jalan Kami'.
TADHIYYAH Maksudku dengan tadhiyyah (pengorbanan) adalah:
Mengorbankan harta, waktu, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat yang
ingin dicapai. Tidak ada jihad di dunia ini yang tidak disertai dengan
pengorbanan. Jangan sekali-kali unsur pengorbanan ini digugur dalam jalan
fikrah ini kerana sesungguhnya di sana ada balasan dan pahala yang besar dan
indah untuknya. Sesiapa yang berhenti dari memberikan pengorbanan maka dia
adalah berdosa. "Sesungguhnya Allah telah membeli nyawa dan harta dari
mukminin." "Katakan bahawa jika sekiranya ayah-ayah kamu dan
anak-anak kamu..." "Demikian itu kerana mereka tidak ditimpa dahaga
dan kekurangan..." "Jika kamu taat maka Allah akan memberikan
kepadamu balasan yang baik" Dengan demikian kamu akan memahami makna
slogan abadimu: `Mati Syahid Di Jalan Allah adalah Setinggi Cita-cita'
TAAT Apa yang aku
maksudkan dengan taat adalah: Mematuhi perintah dan melaksanakannya dengan
segera sama ada dalam keadaan kesusahan ataupun kesenangan, perkara yang
disukai ataupun dibenci. Ini adalah kerana peringkat dakwah ini ada tiga
peringkat: 1. Peringkat Taarif iaitu pengenalan. Ini merupakan peringkat menyebarkan fikrah secara
umum di kalangan manusia. Sistem dakwah dalam peringkat ini adalah seperti
sistem sebuah organisasi. Peranannya adalah bekerja ke arah kepentingan umum.
Wasilahnya adalah cara nasihat menasihati, memberikan petunjuk dan di ketika
yang lain menubuhkan beberapa pertubuhan yang berfaedah dan lain-lain wasilah
yang praktikal. Setiap cabang dari Ikhwan akan berfungsi di peringkat ini untuk
menghidupkan dakwah dan diaturkan oleh undang-undang asas yang diterangkan oleh
perutusan-perutusan Ikhwan dan majalah-majalahnya. Dakwah pada peringkat ini
adalah dakwah umum. Setiap orang yang berkeinginan untuk memberikan sahamnya
akan berhubung dengan jemaah dalam setiap operasinya dan dia akan berjanji
untuk memelihara dasar-dasar jemaah. Taat yang mutlak tidak lagi diwajibkan
pada peringkat ini seperti wajibnya menghormati peraturan dan dasar-dasar umum
jemaah. 2. Peringkat Takwin (pembentukan). Ini dilakukan dengan memilih
unsur-unsur yang layak untuk menanggung bebanan jihad dan juga menyatukan
antara mereka. Sistem dakwah pada peringkat ini adalah secara sufi di sudut
rohani, sistem ketenteraan di sudut praktikalnya. Slogan pada dua perkara ini
(amal dan taat) adalah dengan tidak berbelah bahagi, tidak menarik balik, tidak
ragu dan tidak merasa tertekan. Katibah-katibah Ikhwan pada peringkat ini akan
dibentuk dan akan diaturkan oleh perutusan dasar yang lalu dan juga perutusan
ini. Dakwah pada peringkat ini adalah berbentuk dakwah khas yang hanya akan
bergabung dengannya orang yang mempunyai kesediaan sebenar untuk menanggung
bebanan jihad yang panjang yang banyak cabaran. Petanda awal kepada kesediaan
ini adalah taat yang mutlak dan sempurna. 3. Peringkat Tanfiz (Pelaksanaan).
Dakwah pada peringkat ini adalah peringkat jihad yang tidak ada tolak ansur di
dalamnya, amalan yang berterusan dan usaha untuk sampai kepada matlamatnya,
cabaran dan bala yang hanya akan dapat disabari oleh orang yang benar. Tidak
ada yang mengimbangi peringkat ini kecuali dengan taat yang sempurna juga. Atas
perkara inilah generasi Ikhwan yang pertama telah berbai'ah pada hari 5 Rabiul
Awal 1359 hijrah.
THABAT Maksudku
dengan thabat (keteguhan) adalah: Seorang akh itu sentiasa beramal dan berjihad
dalam mencapai matlamatnya walaupun selama mana masa yang akan dilalui
sehinggalah dia berjumpa dengan Allah sedang dia sudah mendapat satu antara dua
perkara yang elok untuknya iaitu dapat mencapai matlamatnya ataupun mati syahid
pada akhirnya. Firman Allah yang bermaksud: "Di antara orang-orang yang
beriman, ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah,
maka di antara mereka ada yang gugur (syahid), dan di antara mereka ada yang
menunggu giliran dan mereka tidak mengubah janjinya) sedikitpun"
(Al-Ahzab). Pada kita, masa adalah sebahagian dari unsur rawatan. Jalan ini
adalah jalan yang panjang, peringkat yang berjauhan antara satu sama lain dan
banyak cabaran yang akan ditempuhi, namun begitu jalan ini sahajalah yang akan
menepati maksud di samping balasan dan pahala yang banyak dan indah. Itu adalah
kerana setiap wasilah kita yang enam itu memerlukan persediaan yang elok,
menunggu peluang yang mendatang dan ketelitian dalam pelaksanaan. Semuanya itu
bergantung kepada masanya. Firman Allah yang bermaksud: "Mereka berkata
kepadanya: Bilakah kemenangan itu, katakanlah kepada mereka semoga kemenangan
itu adalah perkara yang hampir berlaku" (Al-Israk).
TAJARRUD Maksudku
dengan tajarrud ini adalah: Kamu mengikhlaskan diri kamu untuk fikrah kamu
sahaja dan tidak kepada lain-lain dasar dan peribadi. Ini adalah kerana fikrah
yang kamu bawa adalah fikrah yang paling mulia, paling global dan tinggi. "Celupan
Allah (celupan keimanan yang sebenar kepada Allah yang telah sebati dalam jiwa
orang-orang mukmin). Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada
Allah?" (Al-Baqarah). "Sesungguhnya telah ada bagi kamu contoh
teladan yang baik pada Nabi Ibrahim dan mereka yang bersamanya, ketika mereka
berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu
dan apa yang kamu sembah selain Allah, kami mengingkari kamu dan telah jelas
antara kami dengan kamu permusuhan dan kebencian selama-lamanya sehingga kamu
beriman kepada Allah sahaja..." (al-Mumtahanah). Di sisi seorang akh itu,
manusia adalah terdiri dari enam golongan: Muslim mujahid, muslim yang
menganggur, muslim yang berdosa, zimmi yang mempunyai perjanjian, tidak
berpihak kepada mana-mana pihak dan kafir yang memerangi Islam. Setiap golongan
ini ada hukum interaksi yang khas dengannya di dalam pertimbangan Islam. Dalam
hudud pembahagian inilah, seorang peribadi ataupun sesebuah pertubuhan
dipertimbangkan sama ada untuk diberikan perkongsian ataupun permusuhan.
UKHUWWAH Maksudku
dengan ukhuwwah (persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan
akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan
sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada
kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak
ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah adalah
berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat `ithar' (melebihkan
saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah yang bermaksud: "Dan
sesiapa yang menjaga dirinya dari kebakhilan, maka mereka itulah orang-orang
yang berjaya" (Al-Hasyr). Akh yang benar dengan fikrahnya akan melihat
saudaranya lebih utama untuk diberikan perhatian dari dirinya sendiri kerana
kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka akan bersama dengan selain
darinya. Sesungguhnya serigala akan membaham kambing yang kesesatan. Mukmin
dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara
satu sama lain. "Mukminin dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin
kepada sebahagian yang lain." Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.
THIQAH Maksudku
dengan thiqah adalah: Seorang jundi itu yakin dan tenang dengan kebolehan,
keikhlasan pemimpinnya dengan keyakinan yang mendalam yang akan melahirkan
perasaan kasih, menghargai dan taat. Firman Allah yang bermaksud: "Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad) mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka
menjadikan kamu hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara
mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka keberatan dari apa
yang kamu hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya"
(An-Nisa'). Pimpinan adalah sebahagian dari dakwah dan tidak ada dakwah tanpa
pimpinan. Keyakinan yang silih berganti antara pimpinan dengan tenteranya akan
mencernakan kekuatan sistem jemaah, mengukuhkan strateginya, kejayaannya dalam
mencapai matlamatnya dan juga kejayaannya mengatasi segala cabaran dan
kesusahan yang merintang perjalanan jemaah. "Ketaatan dan perkataan yang
baik adalah lebih utama kepada mereka..." Pimpinan dalam dakwah Ikhwanul
Muslimin mempunyai hak seperti hak bapa kepada anaknya di sudut hubungan ruhi,
hak guru dalam kepentingan akademik, hak syeikh dalam tarbiyah ruhiyyah, hak
pimpinan dalam hukum politik umum dakwah. Dakwah kita adalah himpunan dari
makna-makna ini. Thiqah kepada pimpinan adalah segalanya dalam usaha menjayakan
dakwah ini. Oleh itu seorang akh itu hendaklah bertanya kepada dirinya sendiri
soalan-soalan ini untuk mengetahui sejauh mana thiqahnya kepada pimpinannya: 1.
Adakah dia pernah mengenali pimpinannya sebelum itu dan mengetahui keadaan
hidupnya? 2. Adakah dia yakin dengan kebolehan dan keikhlasannya?3. Adakah dia
bersedia untuk menganggap setiap arahan yang diberikan kepadanya dari
pimpinannya selain dari perkara maksiat, sebagai arahan yang putus dan muktamad
yang tidak ada perbahasan, keraguan, tidak puas hati dan kritik selepasnya?, di
samping memberikan nasihat dan petunjuk kepada perkara yang benar? 4. Adakah
dia bersedia untuk menganggap pandangannya adalah salah dan pandangan
pimpinannya adalah yang benar, jika berlaku pertembungan arahan pimpinan dengan
apa yang diketahuinya dalam masalah ijtihadiyah yang tidak ada nas syarak? 5.
Adakah dia bersedia untuk meletakkan keadaan hidupnya di bawah kepentingan
dakwah? Adakah pada pandangannya, pimpinan memiliki haknya dalam menentukan
antara kepentingan individunya dengan kepentingan dakwah secara umum? Dengan
menjawab soalan seperti ini, seorang akh itu dapat mengukur sejauh mana
hubungannya dengan pimpinannya dan keyakinannya kepadanya. Ini adalah kerana
hati-hati manusia adalah berada di tangan Allah dan Allah membolak balikkannya
mengikut apa yang Dia kehendaki. Firman Allah yang bermaksud: "Kalaulah
kamu belanjakan segala yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat juga
menyatu-padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan
di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
(Al-Anfaal).
Wahai akh
yang benar dalam dakwahnya: Keimanan kamu dengan bai'ah ini mewajibkan agar
kamu menunaikan beberapa kewajipan di bawah sehinggalah kamu menjadi satu sudut
yang kukuh dalam binaan Islam ini. Kewajiban itu adalah:
1.
Kamu hendaklah mempunyai wirid al-Quran harian iaitu
tidak kurang dari satu juzuk sehari dan berusahalah agar kamu menghabiskannya
dalam masa yang tidak lebih dari sebulan dan tidak kurang dari tiga hari.
2.
Hendaklah
kamu perelokkan bacaan al-Quran kamu, mendengar dan mentadabbur makna-maknanya.
Hendaklah kamu memenuhi masa kamu dengan mempelajari sirah yang suci dan juga
sejarah para salaf, paling kurang bacalah kitab `Humatul Islam'. Hendaklah juga
kamu banyakkan membaca hadis Rasulullah s.a.w, menghafal paling kurang empat
puluh hadis dan seboleh-bolehnya hendaklah hadis empat puluh pilihan an-Nawawi.
Kamu juga hendaklah mempelajari usul akidah dan cabang-cabang fikih.
3.
Sentiasa
membuat pemeriksaan am kesihatan dan mendapat rawatan setiap penyakit yang
dihidapi, juga mementingkan unsur-unsur kekuatan dan pencegah penyakit jasmani
dan menjauhi unsur-unsur pembawa penyakit.
4.
Jauhkan dari
terlampau banyak minum kopi, teh dan lain-lain minuman penyegar, jangan minum
minuman-minuman ini kecuali ketika darurat. Janganlah sekali-kali
merokok.
5.
Hendaklah
menjaga kebersihan dalam setiap perkara sama ada dalam tempat tinggal, pakaian,
makanan, badan dan juga tempat kerja. Agama dibina atas asas kebersihan.
6.
Hendaklah
bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.
7.
Hendaklah
jujur dalam menunaikan segala janji dan kata-kata. Janganlah melanggarnya
walaupun apa juga keadaan.
8.
Hendaklah
menjadi seorang yang berani dan tabah menanggung kesusahan. Keberanian yang
paling utama adalah berterus terang dalam perkara benar, merahsiakan perkara
yang rahsia, mengakui kesilapan sendiri dan insaf diri dan mampu mengawal diri
ketika marah.
9.
Hendaklah
sentiasa warak, tenang dan serius. Kewarakan kamu tidak menghalang kamu dari
gurauan benar ataupun suka dalam senyuman.
10. Hendaklah menjadi seorang yang pemalu dan
sensitif, kuat terkesan dengan kebaikan dan keburukan iaitu bergembira dengan
yang pertama (kebaikan) dan sedih dengan perkara yang kedua (keburukan). Hendaklah
juga menjadi seorang yang tawadhuk dalam perkara yang bukan mendatang kehinaan,
ketundukan dan pendustaan. Hendaklah meminta gaji yang kurang dan gaji
sebenarnya agar kamu dapat sampai kepada darjat tawadhuk.
11. Hendaklah sentiasa adil dan benar dalam
setiap keputusan yang diambil dalam apa jua keadaan. Kemarahan kamu kepada
sesuatu perkara janganlah melupakan kamu akan kebaikan-kebaikan yang ada,
begitu juga perasaan redha kamu pada satu perkara janganlah menutup segala
kejahatan yang ada. Janganlah pertelingkahan kamu menjadikan kamu melupakan
segala nilai murni. Bercakap benarlah walaupun dalam perkara yang menyentuh
diri sendiri ataupun menyentuh orang yang terdekat dengan kamu sekalipun
perkara yang kamu tidak sukai.
12. Hendaklah menjadi seorang yang sentiasa
cergas, ringan tulang dalam khidmat awam, gembira dan riang jika dapat
memberikan bantuan dan khidmat kepada orang lain. Ziarahilah orang sakit,
bantulah orang yang berhajat, menanggung orang yang lemah, membantu orang yang
ditimpa kemalangan walaupun hanya dengan perkataan yang baik, juga sentiasalah
bersegera dalam amalan kebaikan.
13. Hendaklah menjadi seorang yang menyayangi,
memuliakan, memaafkan, mengampun dan berlembut dengan manusia mahupun binatang.
Hendaklah mempunyai interaksi dan akhlak yang elok dengan semua manusia,
memelihara adab Islam dan kemasyarakatan, mengasihi kanak-kanak, memuliakan dan
menghormati orang tua, melapangkan majlis, tidak menyelinap dan merisik hal
orang lain, tidak mengumpat dan bertempik-tempik, meminta izin jika ingin masuk
dan keluar dan lain-lain lagi.
14. Bijak dalam membaca dan menulis, banyak
mentelaah perutusan-perutusan, akhbar, majalah Ikhwan dan sebagainya. Hendaklah
membuat perpustakaan sendiri walaupun kecil, hendaklah kamu menjadi seorang
yang pakar dalam bidang ilmu dan seninya jika kamu seorang ahli takhasus. Hendaklah
kamu menguasai hal-ehwal am Islam yang membolehkan kamu menggambarkannya dan
memutuskan sesuatu hukum yang bertepatan dengan kehendak fikrah.
15. Hendaklah berkecimpung dalam kerja ekonomi
walaupun banyak mana harta kamu. Hendaklah melebihkan kerja sendiri walaupun
dengan pendapatan yang kecil, juga hendaklah menumpukan segala usaha kamu
kepadanya walaupun setinggi mana tahap pencapaian akademik kamu.
16. Jangan terlalu mengharapkan kerja dengan
kerajaan dan hendaklah kamu menganggapnya sebagai pintu rezeki yang paling
sempit. Jangan pula kamu menolaknya jika kamu diberikan peluang. Janganlah kamu
melepaskannya kecualilah jika ia bertentangan secara langsung dengan kewajiban
dakwah.
17. Pastikan kamu melakukan pekerjaan kamu
dengan seelok eloknya, penuh ketekunan, dedikasi, tidak menipu dan tepat pada
masanya.
18. Hendaklah kamu menjadi seorang yang bijak
menunaikan hak-hak kewajipan kamu, hendaklah menunaikan hak-hak orang lain
dengan sempurna tidak ada kekurangan, dan tidak sekali menangguh-nangguh.
19. Hendaklah jauhkan diri dari sebarang jenis
perjudian walaupun apa tujuan lain di belakangnya, jauhkanlah diri dari segala
punca pendapatan yang haram walaupun sebanyak mana keuntungan segera yang akan
didapati.
20. Jauhkan diri dari riba dalam segala bidang
muamalah dan bersihkan diri anda keseluruhannya dari riba.
21. Hendaklah memberikan khidmat positif
kepada perkembangan ekonomi Islam dengan mendokong segala kilang-kilang dan
binaan-binaan ekonomi Islam. Jagalah setiap sen duit kamu agar jangan terjatuh
ke tangan pihak bukan Islam walau apa jua keadaan. Janganlah kamu makan dan
pakai kecuali dari makanan dan pakaian buatan negara Islam kamu sendiri.
22. Memberikan saham sebahagian dari harta
kamu untuk dakwah, menunaikan zakat yang diwajibkan ke atas kamu dan jadikanlah
ia sebagai hak yang maklum kepada orang yang berhajat dan ketiadaan harta
benda, walau sekecil manapun pendapatanmu.
23. Hendaklah mempunyai simpanan harta
walaupun sedikit untuk masa kecemasan dan jangan sekali-kali terjerumus dalam
membelanjakannya kepada perkara yang hanya bersifat menyempurnakan.
24. Hendaklah berusaha sedaya upaya untuk
menghidupkan segala adat-adat Islam dan menghapuskan adat-adat asing dalam
seluruh aspek kehidupanmu. Antaranya: adat-adat yang bersangkutan dengan salam
alu-aluan, bahasa, sejarah, fesyen, perkakas rumah, jadual kerja dan rehat,
makanan dan minuman, jadual sampai dan bertolak, kesedihan dan kesukaan dan
sebagainya. Hendaklah kamu sentiasa merujuknya daripada sunah Rasulullah s.a.w
yang suci.
25. Hendaklah kamu memulaukan segala mahkamah
tradisi dan setiap hukuman yang tidak menepati Islam, memulaukan sepenuhnya
kelab-kelab, media massa, kumpulan, sekolah-sekolah dan pertubuhan yang
menentang fikrah kamu.
26. Sentiasa bermuraqabah kepada Allah Taala,
mengingati akhirat dan bersedia untuknya. Hendaklah kamu melakukan segala
perkara yang menyampaikan kamu kepada keredhaan Allah dengan penuh kebanggaan
dan keazaman. Hendaklah mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadat-ibadat
sunat seperti sembahyang malam, berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari sebulan,
memperbanyakkan zikir hati dan lidah dan menyertakan doa yang muktabar dalam
setiap keadaan.
27. Hendaklah kamu sentiasa menjaga kesucian
badan kamu dan sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk kebanyakan waktu.
28. Perelokkan sembahyang kamu, sentiasa
mengerjakannya pada waktunya dan menjaganya agar ditunaikannya secara berjemaah
dan di masjid sejauh kemampuan kamu.
29. Hendaklah berpuasa Ramadhan, mengerjakan
haji jika mampu dan berusaha ke arahnya jika kamu masih belum ada kemampuan
mengerjakan haji.
30. Sentiasalah sematkan niat untuk berjihad
dan perasaan mencintai syahid dalam hatimu dan bersedialah untuk itu sedaya
upaya kamu.
31. Hendaklah sentiasa memperbaharui taubatmu,
sentiasa beristighfar, melepaskan diri dan dosa-dosa kecil tambahan pula
dosa-dosa besar. Hendaklah kamu memperuntukkan sedikit masa untuk menghitung
amalanmu sama ada baik ataupun tidak, sebelum tidur, berwaspada dari membuang
masa kerana masa adalah kehidupan, tidak menghabiskannya dalam perkara yang
tidak berfaedah dan hendaklah kamu warak dalam perkara yang syubhat supaya kamu
tidak terjerumus dalam perkara yang haram.
32. Hendaklah kamu berjihad keras melawan
nafsu kamu supaya kamu dapat mengawalnya, hendaklah kamu menundukkan pandangan
kamu, mengawal perasaan kamu, melawan dorongan seks dalam diri kamu dan
hendaklah sentiasa mencari perkara yang halal dan baik dan menghalang kamu dari
melakukan perbuatan yang haram.
33. Hendaklah kamu menjauhkan diri
sejauh-jauhnya dari arak dan perkara yang memabukkan dan menghilangkan
kewarasan dan yang seumpamanya.
34. Hendaklah kamu menjauhkan diri kamu dari
kawan yang jahat dan merosakkan begitu juga dari tempat-tempat maksiat dan
dosa.
35.
Hendaklah
kamu memerangi tempat-tempat yang melalaikan lebih-lebih lagi dari
mendekatinya. Kamu juga hendaklah menjauhkan diri dari segala bentuk
kemewahan.
36.
Hendaklah
kamu mengenali dengan terperinci setiap individu dari kalangan anggota katibah
kamu dan juga kenalkan diri kamu sedetailnya kepada mereka. Tunaikanlah hak-hak
persaudaraan secara sempurna seperti kasih sayang, menghargai saudara, bantu
membantu dan melebihkan mereka dari diri kamu sendiri (ithar). Hendaklah kamu
sentiasa menghadiri perjumpaan mereka dan janganlah ponteng darinya kecualilah
dengan sebab keuzuran yang memaksa. Hendaklah sentiasa melebihkan mereka
dalam setiap interaksi kamu.
37.
Hendaklah merungkaikan segala ikatan kamu dengan segala
pertubuhan atau jemaah yang tidak ada hubungkaitnya dengan kepentingan fikrah
kamu khasnya jika kamu diperintahkan sedemikian.
38.
Berusahalah untuk menyebarkan dakwah kamu ke setiap
pelusuk bumi ini dan hendaklah sentiasa memberitahu pimpinan kamu apa sahaja
keadaan yang kamu hadapi dan janganlah membuat sesuatu yang memberikan kesan
yang besar kecuali dengan izin, hendaklah sentiasa berada dalam hubungan sama
ada ruh atau amali dengan pimpinan. Hendaklah kamu sentiasa menganggap diri
kamu sebagai seorang tentera di pengkalannya yang sentiasa bersedia menunggu
arahan.
Wahai saudara
yang benar ...Inilah dakwah kamu secara umumnya, ringkas penjelasan mengenai
fikrah kamu yang dapat dikumpulkan asas-asas ini ke dalam lima slogan: `Allah
Matlamat Kami, Rasul Ikutan Kami, Al-Quran Syariat Kami, Jihad Jalan Kami dan
Syahid adalah Cita-cita Kami' Kamu juga dapat mengumpulkan tanda-tandanya dalam
lima perkataan yang lain iaitu: Al-Bisatoh (mudah dan bersederhana), Al-Tilawah
(tilawah al-Quran), Al-Solat (sembahyang), Al-Jundiyah (Ketenteraan) dan
Al-Khulk (akhlak). Yakinlah bahawa jika kamu beramal dengannya dan
menjadikannya sebagai harapan hidupmu dan tumpuan matlamatmu, maka balasan yang
akan kamu dapati adalah kemuliaan di dunia serta kebaikan dan keredhaan di
akhirat nanti. Di kala itu kamu
adalah sebahagian dari kami dan kami adalah sebahagian dari kamu. Jika kamu
berpaling dari kami dan berhenti dari amal ini, maka tidak ada lagi hubungan
antara kita walaupun ketika itu kamu mengetuai kami dan mendapat
gelaran-gelaran dan pangkat yang tinggi. Allah akan menghitung pengunduran kamu
dari amal ini dengan hitungan yang ketat. Oleh itu pilihlah untuk dirimu apa
yang kamu dampakan dan kami berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah dan
taufik kepada kita. Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu jika aku
tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab
yang pedih: Pertama: Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya Kedua: Kamu
berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu. Itulah yang
lebih baik kepada kamu, sekiranya kamu mengetahui: 1. Nescaya Allah akan
mengampuni dosa-dosa kamu.2. Dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir
di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik
dalam syurga Adn'. Itulah keuntungan
yang besar 3. Dan perkara lain yang kamu sukai (ialah) pertolongan dari
Allah.4. Juga kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira
itu kepada orang-orang mukmin. Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu
penolong-penolong (agama) Allah seperti mana Nabi Isa ibni Maryam berkata
kepada pengikut-pengikutnya: "Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?". Penolong-penolongnya
menjawab: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah", maka berimanlah
segolongan dari Bani Israel sementara segolongan lagi kufur. Maka Kami berikan
kekuatan kepada orang-orang yang beriman ke atas musuh-musuh mereka, lalu
mereka menjadi orang-orang yang menang (maksud ayat 10-14 dari surah al-Soff).
Post a Comment